SHAH ALAM, 22 MEI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memohon kerjasama orang awam menyalurkan maklumat berhubung video tular seorang wanita mualaf di laman sosial.
Mais memaklumkan pihaknya sedia membantu wanita mualaf berkenaan yang dipercayai berdepan masalah dipinggirkan suami serta sukar mendapatkan bantuan.
“Sehubungan itu, Mais menyeru orang ramai, jika ada mengenali wanita ini, segera tampil memberikan maklumat kepada Mais.
“Jika wanita berkenaan berada di negeri lain maklumat beliau dapat kami salurkan ke agensi agama negeri tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Mais, seramai 1,875 mualaf didaftarkan sepanjang tahun lalu dengan kebajikan mereka sentiasa dipantau dan dibantu Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita berkenaan boleh hubungi talian 03-3361 4009/4012 atau email kepada [email protected].
Terdahulu, usahawan dan pempengaruh media sosial, Ariff Peter berkongsi video di laman sosial mengenai luahan hati wanita mualaf yang didakwa ditinggalkan suami.
Menerusi video tersebut, wanita mualaf yang kini hamil itu turut menceritakan sukar mendapatkan bantuan daripada pihak masjid selain terpaksa menerima pertolongan gereja.