SHAH ALAM, 21 MEI: Sebanyak 4,260 jawatan kosong merentasi pelbagai sektor ditawar menerusi Karnival Jelajah Jobcare Selangor peringkat daerah Petaling, Sabtu ini.
EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata sebanyak 4,178 peluang pekerjaan disediakan untuk berkhidmat di Selangor manakala 82 lagi di negeri lain.
“Sebanyak 29 majikan akan mengambil bahagian dalam program ini, menawarkan lebih 4,178 peluang pekerjaan di Selangor, dengan penawaran gaji melebihi RM2,000 sebulan.
“Penyertaan mereka membuktikan keyakinan sektor swasta terhadap inisiatif Kerajaan Negeri dalam memperkasa pasaran kerja dan menjana peluang ekonomi yang mampan bagi rakyat negeri ini,” katanya menerusi kenyataan.
Antara lima majikan yang menawarkan gaji lumayan ialah Parkson Corporation Sdn Bhd, Mydin Mohamed Holdings Sdn Bhd, Longi Malaysia Sdn Bhd, Infinity Logistics and Transport Sdn Bhd, dan Carsome Sdn Bhd.
[caption id="attachment_652655" align="alignnone" width="893"] EXCO Sumber Manusia V Papparaidu (tengah) bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon beramah mesra dengan orang ramai yang mengunjungi Karnival Kerjaya Jelajah Jobcare Selangor 2024 di Menara BAC, Petaling Jaya pada 17 Julai 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Dalam pada itu, Papparaidu berkata program Karnival Jelajah Jobcare Selangor turut membuka peluang pekerjaan kepada golongan orang kelainan upaya (OKU).
Menurutnya, langkah itu membuktikan keprihatinan sektor swasta terhadap kepelbagaian keperluan tenaga kerja selari dasar Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada golongan terpinggir dalam pembangunan.
“Inisiatif ini jelas mencerminkan kesungguhan pelbagai pihak dalam menyediakan peluang yang adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat, termasuk golongan OKU,” katanya.
Antara majikan mengambil pekerja OKU ialah KyoChon Sdn Bhd (OKU pembelajaran), 99 Speedmart Sdn Bhd (OKU bisu, pendengaran, pembelajaran) dan Nando’s Malaysia (OKU pendengaran, pertuturan dan pembelajaran).
Karnival Jelajah Jobcare Selangor peringkat daerah Petaling akan diadakan di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) SS3, Petaling Jaya.
Pencari kerja boleh mendaftar melalui pautan https://bit.ly/jobcarepetaling
[caption id="attachment_601980" align="alignnone" width="877"] Pengunjung mengambil peluang menyertai karnival kerjaya ketika Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 8 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]
Selepas ini, Jelajah Jobcare Selangor akan diteruskan di tujuh lagi daerah iaitu Kuala Langat (21 Jun – Dewan Sri Jugra), Hulu Selangor (5 Julai – Dewan Merdeka KKB), dan Hulu Langat (19 Julai – Dewan Perbandaran MPAJ).
Program diteruskan di Klang (27 September – Dewan Hamzah), Kuala Selangor (9 Ogos – Dewan MPKS Puncak Alam), Sabak Bernam (11 Oktober – Dewan Tun Razak), dan daerah terakhir Sepang (15 November – Dewan Komuniti BBST).