ad
AGENDA

MEF: Lanjut umur bersara perlu berdasar prestasi, kemahiran

22 Mei 2025, 8:49 AM
MEF: Lanjut umur bersara perlu berdasar prestasi, kemahiran
MEF: Lanjut umur bersara perlu berdasar prestasi, kemahiran

Oleh Rafiqah Rauf

SHAH ALAM, 22 MEI: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berkata cadangan menaikkan umur persaraan wajib kepada 65 tahun perlu dilaksana secara fleksibel dan bersesuaian mengikut keperluan industri.

Menyambut baik cadangan itu, Presidennya Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman menegaskan tidak semua jenis pekerjaan sesuai untuk pekerja yang lebih berusia.

"Banyak peranan, terutamanya yang memerlukan tenaga fizikal dan intensif dari segi operasi, mungkin tidak sesuai untuk pekerja yang semakin berusia melebihi umur persaraan semasa iaitu 60 tahun.

[caption id="attachment_702347" align="alignleft" width="299"] Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman[/caption]

"Selain itu, perubahan teknologi yang pesat bermakna sesetengah kemahiran menjadi lapuk dengan lebih pantas daripada keupayaan individu untuk melatih semula dan menyesuaikan diri, melainkan terdapat program peningkatan dan latihan semula kemahiran yang berstruktur dan mudah diakses," katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, sekiranya kerajaan ingin melanjutkan umur persaraan, MEF mencadangkan agar ia dilaksanakan secara sukarela dan tidak seharusnya automatik.

"Peningkatan umur persaraan harus berdasarkan tahap kecergasan, kesihatan, dan kesesuaian kemahiran.

"Pilihan seperti persaraan berperingkat, lanjutan kontrak, peralihan peranan seperti menjadi mentor, dan latihan berkaitan adalah lebih mampan berbanding peningkatan umur persaraan secara menyeluruh," katanya lagi.

Syed Husaain berkata pihaknya bersedia mengadakan perbincangan dengan pembuat dasar bagi merangka satu kerangka yang inklusif, berdaya saing dan mampan untuk masa depan jangka panjang Malaysia.

"Cadangan ini mencerminkan kesedaran bahawa rakyat Malaysia kini hidup lebih lama, lebih sihat dan masih mampu menyumbang secara produktif kepada ekonomi walaupun melepasi umur persaraan semasa iaitu 60 tahun.

"Ini merupakan idea yang berpandangan jauh, memandangkan Malaysia bakal mencapai status negara tua menjelang tahun 2030," katanya.

Beliau turut menegaskan pelanjutan umur persaraan berisiko mengehadkan peluang pekerjaan kepada golongan muda serta graduan baharu selain membawa kepada kadar pengangguran belia yang lebih tinggi sekiranya tidak diseimbangkan dengan pertumbuhan ekonomi dan penciptaan peluang pekerjaan baharu.

Cadangan untuk menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun dibangkitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan baru-baru ini, selaras dengan langkah beberapa negara lain yang berdepan isu penuaan penduduk.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.