SHAH ALAM, 22 MEI: Situasi kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Selangor kini terkawal dan menunjukkan tanda awal pemulihan hasil langkah kawalan bersepadu, maklum EXCO Kesihatan Awam.
Bagaimanapun, Jamaliah Jamaluddin menasihatkan ibu bapa tidak menghantar anak bergejala ke taska, tadika, prasekolah atau sekolah dan memastikan mereka kekal di rumah sehingga sembuh bagi mengelak penularan jangkitan.
Katanya, pengusaha institusi pendidikan awal kanak-kanak juga disaran tidak menerima mereka yang bergejala, melaksanakan saringan kesihatan di pintu masuk dan mengekalkan tahap kebersihan premis pada paras optimum.
“Sehingga Minggu Epidemiologi 19, tahun 2025 (ME 19/2025) berakhir pada 10 Mei lalu, Selangor mencatat 39,233 kes HFMD meningkat lebih ketara dari ME 15 hingga ME 19/2025 iaitu selepas minggu pertama Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan.
[caption id="attachment_689385" align="alignleft" width="500"] EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin ditemui media selepas majlis penyampaian watikah pelantikan Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 28 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Jelasnya, antara faktor penyumbang peningkatan kes adalah pergerakan orang ramai yang lebih aktif, aktiviti kunjung-mengunjung, interaksi rapat antara kanak-kanak di kawasan tumpuan seperti rumah saudara-mara serta perkongsian makanan dan permainan.
“Faktor lain ialah kelonggaran saringan pintu masuk di fasiliti jagaan kanak-kanak untuk mengenalpasti mereka yang bergejala bagi tujuan pengasingan.
“Sembilan kes melibatkan varian Enterovirus 71 (EV71) turut dilaporkan, iaitu tujuh kes di Sabak Bernam dan dua di Hulu Langat yang mana seorang pesakit di Sabak Bernam dimasukkan ke wad dan telah pulih sepenuhnya, manakala lapan lagi kes menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.
Tambah Jamaliah, 42.8 peratus kluster HFMD di Selangor berlaku di institusi penjagaan dan pendidikan kanak-kanak termasuk taska, tadika, prasekolah dan pusat tuisyen, sekolah rendah (lima peratus), pusat jagaan harian (tiga peratus) dan sekolah menengah (0.2 peratus) manakala 49 peratus lagi berlaku di rumah kediaman.
“Sehingga ME 19/2025, penutupan premis pendidikan dijalankan sama ada secara sukarela atau di bawah peruntukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Secara keseluruhan, sehingga ME 19/2025, penutupan sukarela melibatkan 192 premis iaitu taska (63), tadika (81), tabika (25), prasekolah (15), sekolah rendah (enam) dan satu pusat jagaan.
“Manakala, penutupan premis secara penguatkuasaan undang-undang pula melibatkan 435 premis, iaitu taska (168), tadika (157), tabika (69), prasekolah (29), sekolah rendah (10) dan dua pusat jagaan.
“Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) turut mengeluarkan arahan untuk meningkatkan pengambilan sampel terutama di lokasi wabak melibatkan institusi dan kes yang dimasukkan ke wad bagi tujuan pemantauan dan pengesanan varian virus dengan lebih berkesan,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam akan mengedarkan bahan maklumat lengkap berkaitan HFMD, termasuk langkah pencegahan serta tanda gejala kepada taska dan tadika di kawasan yang mencatatkan kes tinggi.
“Ini bertujuan memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan di peringkat komuniti. Kerajaan Negeri juga komited bekerjasama erat dengan pihak JKNS dan semua agensi berkaitan dalam memastikan wabak ini dapat dikawal dengan berkesan,” katanya.