PUTRAJAYA, 22 MEI: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta diberikan kelonggaran untuk melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau fizikal.
Kemudahan itu diberikan susulan penutupan jalan dan kawalan keselamatan di sekitar Lembah Klang, termasuk di Kuala Lumpur, Selangor, dan Putrajaya sempena penganjuran Sidang Kemuncak Asean ke-46 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Mei.
"Setiap IPT diminta membuat semakan lokasi, masa dan tarikh laluan yang ditutup sepanjang 26 hingga 28 Mei ini untuk menentukan keperluan bagi PdP secara dalam talian bagi memastikan warga tidak terkesan dengan kesesakan aliran trafik," menurut kenyataan itu di sini hari ini.
KPT memaklumkan penuntut dan warga IPT yang terkesan turut disaran menghubungi pihak pengurusan institusi masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut.
"Kementerian yakin dengan PdP secara dalam talian ini akan memberi kemudahan kepada warga IPT untuk merancang pergerakan harian mereka, di samping memastikan proses pembelajaran tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa sepanjang penganjuran sidang kemuncak berkenaan," menurut kenyataan itu.
- BERNAMA