ad
AGENDA

PBT laksana pemantauan, pastikan arahan larang iklan vape dipatuhi

22 Mei 2025, 5:05 AM
PBT laksana pemantauan, pastikan arahan larang iklan vape dipatuhi

SHAH ALAM, 22 MEI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor sedia melaksanakan arahan pentadbiran negeri untuk merampas dan menyita iklan produk rokok elektronik atau vape di semua medium pengiklanan fizikal.

Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Norfiza Mahfiz berkata tindakan tersebut selaras undang-undang MBDK yang tidak pernah mengeluarkan lesen perniagaan bagi jualan vape.

“MBDK akan mengikut arahan Kerajaan Negeri selaras peruntukan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang secara jelas melarang sebarang bentuk pengiklanan, promosi dan penajaan berkaitan produk rokok elektronik.

“MBDK juga akan melaksanakan tindakan penurunan iklan yang memaparkan vape di kawasan MBDK seperti yang diperuntukkan bawah Undang-Undang Kecil 21, Undang-Undang Kecil Iklan (MPK) 2007,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) memaklumkan pihaknya akan menggerakkan operasi pemberitahuan kepada pihak terlibat supaya tiada lagi paparan iklan (gegantung dan sepanduk) berkaitan produk vape.

Mohd Hasry Nor Mohd berkata MPKL memandang serius perkembangan aktiviti vape dalam masyarakat selain menyokong langkah awal mengawal jualan vape terutamanya kepada generasi muda.

"Kita akan beri ruang kepada pemilik premis atau pengiklan untuk menurunkan sendiri sebarang bentuk pengiklanan, promosi dan penajaan berkaitan produk vape sebelum tindakan yang lebih tegas diambil sekiranya arahan tersebut tidak dipatuhi,” katanya.

Pengarah Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd Fauzi Aziz Maamor pula memaklumkan pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut berhubung ketetapan tersebut.

Jelasnya, perkara itu perlu dibincangkan bersama di peringkat tertinggi bersama Datuk Bandar dan kepimpinan Ahli Majlis dalam tempoh terdekat.

“Kita belum ada sebarang keputusan dan perkara berkenaan mungkin akan dibangkitkan dalam mesyuarat penuh pada 26 Mei ini bersama Datuk Bandar,” katanya.

Kelmarin, Kerajaan Selangor mengarahkan semua PBT merampas dan menyita sebarang iklan berkaitan produk rokok elektronik atau vape di semua medium fizikal termasuk papan iklan digital atau LED.

EXCO kesihatan awam berkata tindakan itu selaras dengan peruntukan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) bagi melindungi rakyat khususnya generasi muda daripada ancaman vape yang semakin membimbangkan.

Jamaliah Jamaluddin memaklumkan satu lagi mesyuarat lanjutan akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan pilihan dasar sesuai sebelum dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), berkaitan larangan penjualan vape.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari memaklumkan cadangan melarang penjualan produk vape dan rokok elektronik di Selangor akan dibentangkan dalam sidang Dewan Negeri akan datang.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.