ad
AGENDA

Bapa, dua anak lelaki sesak nafas, pangsapuri tingkat 16 terbakar

22 Mei 2025, 4:18 AM
Bapa, dua anak lelaki sesak nafas, pangsapuri tingkat 16 terbakar
Bapa, dua anak lelaki sesak nafas, pangsapuri tingkat 16 terbakar

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Tiga beranak sesak nafas selepas kediaman mereka di tingkat 16 sebuah pangsapuri di Persiaran Bukit Rahman Putra 1, Sungai Buloh, Selangor musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Razali Wan Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 6.36 pagi.

Beliau berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi dan tiba 10 minit sebelum operasi pemadaman dikawal sepenuhnya pada 7.05 pagi.

“Kebakaran melibatkan sebuah unit kediaman seluas kira-kira 1,200 kaki persegi di tingkat 16 yang musnah kira-kira 80 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ketiga-tiga mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 54 tahun dan dua anak lelakinya dalam lingkungan usia 20-an berjaya menyelamatkan diri sebelum pasukan bomba tiba dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

- BERNAMA

[caption id="attachment_702315" align="aligncenter" width="974"] Anggota bomba memadam kebakaran sebuah rumah di Persiaran Bukit Rahman Putra 1, Sungai Buloh, Selangor pada 22 Mei 2025. Foto JBPM Selangor[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.