ad
BERITA UTAMA

Usahawan wanita diri taska 12 tingkat hasil bantuan Hijrah Selangor

22 Mei 2025, 1:30 AM
Usahawan wanita diri taska 12 tingkat hasil bantuan Hijrah Selangor
Usahawan wanita diri taska 12 tingkat hasil bantuan Hijrah Selangor
Usahawan wanita diri taska 12 tingkat hasil bantuan Hijrah Selangor
Usahawan wanita diri taska 12 tingkat hasil bantuan Hijrah Selangor
Usahawan wanita diri taska 12 tingkat hasil bantuan Hijrah Selangor
Usahawan wanita diri taska 12 tingkat hasil bantuan Hijrah Selangor
Usahawan wanita diri taska 12 tingkat hasil bantuan Hijrah Selangor

Oleh Nazli Ibrahim

Dari hanya seorang murid pada hari pembukaan, Taska Didik Cemerlang kini mengasuh 403 kanak-kanak. Bermula di sebuah rumah, taska itu pada masa ini beroperasi di bangunan 12 tingkat.

Menjadikan pusat asuhan di Jerman sebagai model, usahawan Rahmah Safari, 49, meninggalkan kerjaya sebagai guru di sebuah sekolah agama untuk membangunkan pusat didikan itu hingga memiliki empat cawangan.

Bukan mudah. Berbekal modal RM25,000 untuk menggaji pekerja dan urusan berkaitan, kemudian membuat empat kali pinjaman Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor), berdepan pula gelombang pandemik Covid-19, wanita tersebut tidak pernah putus asa.

Segala penat lelah dan tungkus-lumus kira-kira 12 tahun membawa Rahmah yang berasal dari Sungai Besar sebagai Ikon Usahawan Hijrah 2024.

Bermula menyewa rumah sederhana besar, wanita tersebut tekad untuk membuka taska pada Januari 2013, meninggalkan gelaran guru yang tersemat kukuh di hatinya sejak 25 tahun lamanya.

Model pusat asuhan di Jerman menjadi konsep pembelajaran. Berdasarkan pemerhatian suaminya, kanak-kanak di republik itu riang gembira melakukan pelbagai kegiatan luar antaranya bercucuk tanam, bermain air dan memasak. Tidak hanya tertumpu kepada pembelajaran di kelas.

[caption id="attachment_702266" align="aligncenter" width="700"] Ikon Usahawan Hijrah Rahmah Safari (tengah) bersama kakitangannya di Taska Didik Cemerlang Pusat Perniagaan D'Kebun, Klang pada 5 Mei 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Justeru, Rahmah mendirikan Taska Didik Cemerlang di Taman Cassia Bandar Putera 2, Klang selepas mengikuti kursus asuhan permata sebagai syarat untuk memperoleh kelulusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Hari pertama pembukaan, hanya ada seorang murid. Saya ingat lagi, setiap kali ada kereta lalu, saya jengah ke luar dengan harapan ada berhenti untuk hantar anak ke taska," katanya kepada Media Selangor pada 5 Mei.

Hampir setahun kemudian, berkat perkhidmatan baik menjadi bahan promosi secara tidak langsung mulut ke mulut, bilangan anak asuhan bertambah kepada lebih 30 orang.

Cawangan

Berikutan permintaan ramai, anak sulung daripada enam beradik itu membuka cawangan pertama pada 2014. Rahmah juga menyediakan khidmat pengangkutan van untuk menjemput dan menghantar murid. Pendahuluan kenderaan itu menggunakan pinjaman RM20,000 daripada Hijrah Selangor.

Perniagaannya berkembang. Dua tahun kemudian, wanita itu membuka cawangan kedua di taman perumahan sama. Beliau membuat pinjaman RM50,000 untuk membiayai kos membuka cawangan dan menambah van.

Rahmah meluaskan rangkaian taska kepada cawangan ketiga pada 2018, menjadikan semuanya empat premis bagi menampung lebih 250 murid dan anak asuhan. Pinjaman RM50,000 dibuat beliau. Rahmah juga menggaji 30 kakitangan.

Khuatir taska tersebut mengganggu kejiranan termasuk kelancaran trafik, keempat-empat premis itu dipindah ke sebuah bangunan komersial di Jalan Kebun, tidak jauh dari lokasi asal.

"Ada ibu bapa murid yang parkir di kawasan itu mengganggu kelancaran perjalanan di taman perumahan. Kanak-kanak pula kadang-kadang bising. Ganggu kejiranan. Jadi, saya berpindah," katanya.

[caption id="attachment_702264" align="aligncenter" width="700"] Ikon Usahawan Hijrah Rahmah Safari mengajar kanak-kanak di Taska Didik Cemerlang Pusat Perniagaan D'Kebun, Klang pada 5 Mei 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Pada kadar sewa RM21,000 sebulan sejak berpindah pada 1 Disember 2019, rezeki Rahmah semakin murah. Bilangan murid dan anak asuhannya meningkat kepada hampir 300 orang.

Tidak sampai beberapa bulan beroperasi di bangunan baharu, wabak Covid-19 melanda. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai Mac 2020 menjadi cabaran baharu.

"Ramai ibu bapa tidak hantar anak mereka. Jadi, cabaran masa itu macam mana hendak bayar gaji pekerja, sewa bangunan lagi. Nasib baiklah saya mohon Program Subsidi Upah (PSU)," katanya.

Untuk kali keempat, Rahmah membuat pinjaman Hijrah RM100,000 bagi menampung modal pusingan. Lantaran rekod bayarannya baik, kelulusan mudah diperoleh. Selebihnya, disimpan bagi kegunaan luar jangka.

Kini, Taska Didik Cemerlang yang menawarkan perkhidmatan pusat asuhan dan kelas tadika menempatkan 304 kanak-kanak dari umur dua bulan hingga 12 tahun. Ada sembilan kelas, pejabat dan asrama pekerja. Juga dilengkapi kemudahan transit dan pengangkutan.

Rahmah juga memasang impian untuk membuka cawangan baharu, menambah aset seperti van selain menambah baik sistem perkhidmatan bagi menarik kepercayaan lebih ramai ibu bapa.

Beliau juga menasihati pengusaha pusat asuhan dan taska supaya menjalankan perniagaan secara sah, berdaftar dengan JKM supaya lebih terurus dan selamat.

[caption id="attachment_702265" align="aligncenter" width="700"] Ikon Usahawan Hijrah Rahmah Safari beramah mesra bersama kanak-kanak di Taska Didik Cemerlang Pusat Perniagaan D'Kebun, Klang pada 5 Mei 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

[caption id="attachment_702268" align="aligncenter" width="700"] Ikon Usahawan Hijrah Rahmah Safari mengajar kanak-kanak di Taska Didik Cemerlang Pusat Perniagaan D'Kebun, Klang pada 5 Mei 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

[caption id="attachment_702267" align="aligncenter" width="700"] Kanak-kanak mengikuti kelas di Taska Didik Cemerlang Pusat Perniagaan D'Kebun, Klang pada 5 Mei 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

[caption id="attachment_702270" align="aligncenter" width="700"] Kanak-kanak mengikuti kelas di Taska Didik Cemerlang Pusat Perniagaan D’Kebun, Klang pada 5 Mei 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

 

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.