ad
AGENDA

PBAKL: IBDE tawar diskaun hingga 25 peratus, ketengah koleksi baharu

21 Mei 2025, 1:45 PM
PBAKL: IBDE tawar diskaun hingga 25 peratus, ketengah koleksi baharu

SHAH ALAM, 21 MEI: Pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 berpeluang menikmati potongan sehingga 25 peratus untuk pembelian karya terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) mulai Jumaat ini hingga 1 Jun dari 10 pagi hingga 10 malam, IBDE boleh ditemui di Dewan Tun Razak 4 di reruai lapan hingga 30.

Menurut IBDE, pelbagai lagi tawaran istimewa disediakan untuk pengunjung termasuk potongan 15 peratus bagi semua buku, buku serlahan (potongan 20 peratus) dan kombo buku serendah RM50.

“Selain itu, pengunjung juga boleh dapatkan buku terpilih serendah RM5 serta tambahan potongan lima peratus untuk pembelian dari jam 10 hingga 11 pagi.

“Bagi pembelian RM50 akan dapat poskad khas manakala pembelian RM100 akan menerima beg ‘non-woven'. Selain itu, jika berbelanja RM150 dapat sertai roda impian dan daftar sebagai Bukuwan Emas,” katanya di Facebook.

Menurut IBDE, judul baharu terbitan 2025 merangkumi pelbagai genre, akan turut dibawa ke PBAKL 2025 antaranya Ihya' Ulumuddin Menghidupkan Agama Jilid 6, Himpunan Doa Harian (dwibahasa), Pengantar Ilmu Tafsir dan Dalail al-Khairat.

Selain itu genre sejarah dan politik seperti Dunia Kini Milik China?, Bintang Merah di Langit Malaya dan Kitab Kuning serta Siri Al-Ghazali Muda koleksi buku kanak-kanak.

Buku biografi terbaharu turut dijual sempena PBAKL 2025 iaitu Suri Hati Nabi, Muslihat Mahathir dan Amir Abdul Kadir serta Cetera Falsafah, Renungan Metafizik dan Tujuan Hidup Manusia (falsafah).

Sebelum ini, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad berkata Selangor diberi pengiktirafan sebagai Negeri Tamu kali kelima pada PBAKL 2025.

Menurutnya, Selangor menjadi satu-satunya Negeri Tamu, selain beberapa kementerian lain yang turut dijemput sama.

Seramai 1.9 juta pengunjung dijangka memeriahkan PBAKL 2025 yang menyaksikan penyertaan lebih 280 pempamer dan 1,000 reruai, termasuk penyertaan dari luar negara menerusi Asean Rights Fair (ARF).

Menariknya, PBAKL tahun ini mengekalkan konsep hibrid, di mana pengunjung boleh membeli buku secara fizikal mahupun dalam talian menerusi platform seperti TikTok dan Shopee.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.