ad
AGENDA

Malaysia–Palestin perkukuh kerjasama kesihatan demi kesejahteraan ummah

21 Mei 2025, 12:00 PM
Malaysia–Palestin perkukuh kerjasama kesihatan demi kesejahteraan ummah
Malaysia–Palestin perkukuh kerjasama kesihatan demi kesejahteraan ummah

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Malaysia dan Palestin sepakat memperkukuh kerjasama strategik bagi memperkasakan sistem kesihatan yang adil, berdaya tahan dan berteraskan nilai kemanusiaan sejagat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerjasama itu diperincikan menerusi pertemuan dua hala antara beliau dan rakan sejawatnya dari Palestin Dr Maged Abu Ramadan hari ini.

Beliau berkata antara bidang kerjasama dibincangkan ialah pembangunan kapasiti tenaga kerja kesihatan, pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit serta usaha transformasi digital kesihatan.

“Pertemuan ini memperkukuh lagi hubungan erat antara dua negara Islam yang berkongsi aspirasi untuk memperkasakan sistem kesihatan yang adil, berdaya tahan dan berpaksikan nilai kemanusiaan.

“Saya juga memuji kejayaan Palestin dalam melaksanakan kempen vaksinasi polio menggunakan nOPV2, suatu langkah penting dalam kesiapsiagaan kesihatan awam,” katanya menerusi hantaran Facebook.

[caption id="attachment_702248" align="aligncenter" width="813"] Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Palestin Dr Maged Abu Ramadan sempena Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 di Geneva, Switzerland pada 21 Mei 2025. Foto Facebook Dr Dzulkefly Ahmad[/caption]

Dzulkefly berkata keseluruhan perbincangan berlangsung dalam bahasa Arab sebagai pendekatan diplomatik yang bertujuan memastikan penyampaian mesej secara jelas, memperkukuh persefahaman bersama serta menghormati latar budaya kedua-dua pihak.

Pada masa sama, beliau menegaskan pendirian Malaysia yang dibangkitkan pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 (WHA78) baru-baru ini, yang mendesak masyarakat antarabangsa agar tidak berdiam diri terhadap krisis kemanusiaan dan kesihatan awam yang sedang berlaku di Gaza.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.