SHAH ALAM, 21 MEI: Sebuah premis makanan di Hulu Selangor diarah tutup 14 hari bermula semalam selepas didapati melanggar pelbagai peraturan kebersihan dan keselamatan makanan.
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memaklumkan, hasil pemeriksaan menjumpai najis tikus dan lipas di rak penyimpanan selain pengendali makanan berkuku panjang, tidak memakai apron dan penutup kepala.
Selain itu, telur ayam tidak dibasuh, sisa efluen dari premis memasuki longkang awam, pembuangan sisa makanan ke longkang awam dan perangkap minyak tidak diselenggara dengan baik, menurutnya di Facebook.
“Kesalahan lain termasuk peralatan memasak dan kain pengelap tidak bersih, pengurusan sisa pepejal tidak teratur dan beberapa kesalahan lain.
[caption id="attachment_702214" align="alignnone" width="763"] Keadaan dapur premis makanan di Rawang hasil pemeriksaan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) pada 20 Mei 2025. Foto Facebook MPHS[/caption]
“Susulan itu, tiga kompaun kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) MPHS di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Establisymen Makanan 2007 dan UUK Pengendali Makanan 2007.
“Ia melibatkan UUK 34 (tidak mengambil langkah pencegahan serangga di dalam premis makanan), UUK 19(1)(d) (membuang atau menumpahkan buangan cecair ke dalam longkang awam) dan UUK 8(1) iaitu tidak menyelenggara badan dalam keadaan bersih (kuku panjang),” katanya.
Menurut MPHS, bagi menjamin keselamatan pengguna, pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana premis makanan yang gagal mematuhi standard kebersihan ditetapkan.