ad
AGENDA

Pakar kesihatan: Mudarat vape besar, keputusan Selangor larang iklan tepat

21 Mei 2025, 5:57 AM
Pakar kesihatan: Mudarat vape besar, keputusan Selangor larang iklan tepat

SHAH ALAM, 21 MEI: Keputusan Kerajaan Negeri mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) merampas dan menyita iklan berkaitan produk rokok elektronik atau vape adalah tepat.

Pakar kesihatan awam, Dato’ Dr Khalid Ibrahim berkata penjualan vape yang mengandungi bahan merbahaya semakin meluas dan ia memberi risiko kesihatan terutamanya kepada golongan belia.

“Saya menyokong penuh saranan negeri dan ini merupakan langkah terbaik. Kita tahu bahawa perlesenan adalah bawah PBT, dan ada beberapa negeri sudah pun laksanakan.

“Kita dapati ramai yang salah gunakan vape. Malah bukti saintifik membuktikan vape menyebabkan isu kesihatan seperti barah paru-paru,” katanya kepada Media Selangor.

Dr Khalid yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Profesional dan Operasi di Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam menambah, mudarat vape lebih besar daripada faedah ekonomi.

Bagaimanapun, katanya penguatkuasaan berkaitan vape perlu ditangani dengan berhemah kerana dijangka memberi kesan kepada usahawan terlibat.

“Bagi saya kesihatan ini lebih penting daripada isu duit. Tapi mungkin akan timbul isu daripada peniaga nanti,” kata bekas pengarah kesihatan negeri ini.

Semalam, Kerajaan Selangor mengarahkan semua PBT merampas dan menyita sebarang iklan berkaitan produk rokok elektronik atau vape di semua medium fizikal termasuk papan iklan digital atau LED.

EXCO kesihatan awam berkata tindakan itu selaras dengan peruntukan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) bagi melindungi rakyat khususnya generasi muda daripada ancaman vape yang semakin membimbangkan.

Jamaliah Jamaluddin memaklumkan satu lagi mesyuarat lanjutan akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan pilihan dasar sesuai sebelum dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), berkaitan larangan penjualan vape.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari memaklumkan cadangan melarang penjualan produk vape dan rokok elektronik di Selangor akan dibentangkan dalam sidang Dewan Negeri akan datang.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.