ad
AGENDA

Pengawal keselamatan disyaki peras ugut pengunjung hospital direman dua hari

20 Mei 2025, 1:00 PM
Pengawal keselamatan disyaki peras ugut pengunjung hospital direman dua hari

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Polis mengesahkan kejadian pemerasan membabitkan seorang pengawal keselamatan dan seorang wanita yang tular di media sosial, berlaku di sebuah hospital di Selangor pada 23 Dis tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa seorang wanita tempatan mendakwa pengawal keselamatan berkenaan mengambil wang tunai RM50 milik ibunya, dipercayai berpunca daripada isu parkir di kawasan hospital.

“Video berdurasi 55 saat yang tular itu dimuat naik seorang pengguna media sosial TikTok pada 19 Mei lepas dan mencetuskan pelbagai reaksi serta komen masyarakat berhubung sikap pengawal keselamatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pengawal keselamatan warga tempatan itu dipercayai mengambil kesempatan dengan meminta wang daripada pengunjung hospital yang meletakkan kenderaan di tempat tidak dibenarkan selain turut mengeluarkan kata-kata ugutan yang kasar.

Beliau berkata mangsa yang berusia 31 tahun membuat laporan polis pada 19 Mei kira-kira 11.27 malam.

“Susulan laporan itu, pengawal keselamatan berkenaan yang berusia 28 tahun ditahan pada hari sama dan kini direman selama dua hari hingga esok bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Insp Ghazali Zulkifli di talian 016-9140758 atau tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.