ad
AGENDA

Laluan pejalan kaki MRT Phileo Damansara siap sepenuhnya, kos RM200,000

20 Mei 2025, 10:18 AM
Laluan pejalan kaki MRT Phileo Damansara siap sepenuhnya, kos RM200,000

OLEH DANIAL DZULKIFLY

PETALING JAYA, 20 MEI: Laluan pejalan kaki menghubungkan Stesen MRT Phileo Damansara siap sepenuhnya selepas beberapa kelewatan sejak projek bermula Julai tahun lalu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung berkata projek bernilai RM200,000 itu dibiayai bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Pejabat Parlimen Petaling Jaya dan Prasarana Malaysia Berhad.

“Tiang lampu yang sebelumnya menghalang laluan disebabkan kerja pemindahan sedang berjalan dan kini telah dialihkan, menjadikan laluan selamat untuk orang awam,” katanya pada sidang media hari ini.

Chean Chung turut mencadangkan kerajaan menilai semula model pembangunan infrastruktur agar penyambungan terakhir (last-mile connectivity) ke sistem pengangkutan awam lebih berkesan.

Beliau menekankan perlunya perancangan menyeluruh kerana banyak hentian bas tidak berfungsi walaupun disediakan.

Beliau juga mencadangkan dana khas pengangkutan awam diwujudkan di peringkat pihak berkuasa tempatan untuk menampung kos operasi bas, terutama di Petaling Jaya.

"Sokongan seperti laluan berbumbung, tempat letak basikal dan kemudahan mandi untuk penunggang basikal juga perlu diberi perhatian.

Selain itu, Chean Chung menggesa pelan tindakan bersama antara Prasarana, Kementerian Pengangkutan dan PBT dibentuk bagi tempoh tiga hingga lima tahun untuk menyelesaikan isu penyambungan terakhir.

“Kita sering abaikan perkara kecil, tetapi ia penting supaya orang ramai dapat akses stesen dengan mudah, selesa dan selamat,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.