ad
AGENDA

Polis jalani latihan simulasi Asean-GCC selama dua hari mula esok

20 Mei 2025, 9:26 AM
Polis jalani latihan simulasi Asean-GCC selama dua hari mula esok

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan latihan simulasi sempena Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (Asean-GCC) 2025 selama dua hari bermula esok, membabitkan pergerakan konvoi pemimpin di sekitar ibu negara.

Dalam kenyataan hari ini, PDRM memaklumkan latihan itu akan dijalankan mengikut masa sebenar melibatkan laluan utama bagi raptai pergi dan balik, ke lokasi rasmi persidangan.

“Latihan pada 21 Mei membabitkan pergerakan konvoi negara-negara Asean, manakala 22 Mei melibatkan negara-negara GCC,” menurut kenyataan itu.

Antara laluan yang terlibat ialah dari hotel penginapan ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) antara 7.30 pagi hingga 9 pagi, dari KLCC ke Istana Negara bagi majlis Santapan Diraja (11.30 pagi hingga 1 tengah hari) dan dari hotel ke lokasi makan malam gala antara 6.30 petang hingga 8 malam.

Semalam, media melaporkan enam lebuh raya dan 25 jalan utama di ibu negara akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat, sempena Sidang Kemuncak Asean Ke-46 yang berlangsung minggu ini.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.