SHAH ALAM, 20 MEI: Lapan keluarga Orang Asli Mah Meri yang terlibat dalam projek pembangunan pelancongan menerima kediaman baharu menerusi Program Bantuan Rumah Orang Asli (PBROA).
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata kesemua penduduk terbabit menerima rumah berkeluasan 660 kaki persegi yang dibina mengikut piawaian dan garis panduan PBROA, April lalu.
[caption id="attachment_701982" align="aligncenter" width="746"] EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berucap pada majlis penyerahan Program Bantuan Rumah Orang Asli dan Menandatangani Surat Aku Janji di Dewan Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Sepang pada 19 Mei 2025. Foto Facebook EXCO Perumahan & Kebudayaan/Ahli Dewan Negeri Tanjong Sepat[/caption]
“Program bantuan rumah ini bukan sahaja memenuhi hak dan keperluan asas perumahan, malah ia manifestasi pengiktirafan terhadap komuniti Orang Asli sebagai sebahagian daripada keluarga besar rakyat Selangor.
“Sebanyak lapan rumah siap diserahkan kepada penduduk yang terlibat, empat disediakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) manakala selebihnya oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).
“Bagi lima keluarga yang telah pun memiliki rumah sendiri, Kerajaan Negeri melalui PNSB turut memperuntukkan bayaran ex-gratia RM3,000 setiap keluarga sebagai tanda penghargaan dan tanggungjawab sosial atas kerjasama serta pengorbanan mereka dalam proses penyelesaian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Borhan menyempurnakan majlis penyerahan rumah berkenaan di Dewan Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Sepang.
Terdahulu, isu penempatan komuniti Mah Meri di Bagan Lalang tular susulan dakwaan mereka diusir bagi memberi laluan kepada pembangunan pelancongan di bawah projek Sepang Gold Coast.
Bagaimanapun, PNSB dalam kenyataan menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan Kerajaan Negeri telah menjalankan rundingan dengan pihak terlibat mengikut prosedur serta undang-undang sedia ada.
Menurutnya, tanah yang terlibat dalam projek berkenaan adalah milik Kerajaan Negeri dan melibatkan kawasan Pos Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia (PGA PDRM), plot nombor 70, HS(D) 18373, PT 5250, HS(D) 37248 dan PT 9925.