ad
ADN

EKVE seksyen 1 dijadual buka Julai, surai kesesakan trafik Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras

20 Mei 2025, 1:01 AM
EKVE seksyen 1 dijadual buka Julai, surai kesesakan trafik Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras
EKVE seksyen 1 dijadual buka Julai, surai kesesakan trafik Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras

Oleh Dewi Abdul Rahman

SHAH ALAM, 19 MEI: Projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) seksyen 1, yang menghubungkan Sungai Long ke Ampang dijangka dibuka pada Julai depan.

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata pembukaan lebuh raya tersebut akan menyuraikan kesesakan trafik di kawasan Bandar Sungai Long serta Bandar Mahkota Cheras.

"Menurut laporan diberikan, kerja-kerja fizikal di Seksyen 1 dijangka selesai akhir bulan ini dengan pemeriksaan keselamatan dijadualkan bulan depan.

"Saya akan terus memantau kemajuan kerja untuk memastikan lebuhraya ini dibuka mengikut jadual yang telah ditetapkan," katanya di Facebook.

Mengulas lanjut, beliau berkata projek EKVE seksyen 2 yang menghubungkan Ampang ke Ukay Perdana telah mencapai 76 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya Januari 2026.

"Saya berpuas hati dengan taklimat yang telah diberikan kepada saya dan menghargai usaha pihak EKVE membawa kami untuk melihat sendiri lebuh raya ini.

"Pembukaan kedua-dua seksyen ini akan melengkapkan laluan strategik yang diharap dapat memperbaiki mobiliti serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitarnya," ujarnya.

EKVE adalah sistem lingkaran jalan raya berbentuk orbit di Greater Kuala Lumpur dan membentuk bahagian timur Lebuhraya Lingkaran Luar Kuala Lumpur.

EKVE merangkumi 24 kilometer (km) lebuh raya utama dan 12km jalan susur keluar. Lebuh raya itu akan menjadi laluan alternatif kepada Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dengan menyediakan jalan pintas untuk trafik utara-selatan tanpa memasuki pusat bandar Kuala Lumpur, seterusnya mengurangkan kesesakan.

EKVE menggalakkan urbanisasi yang seimbang di Greater Kuala Lumpur untuk mengekalkan pertumbuhan yang pesat, menyokong pertumbuhan ekonomi rakyat Selangor terutamanya Kajang dan Hulu Langat, menyediakan hubungan antara pusat bandar dan memastikan pengagihan pendapatan yang saksama.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.