SHAH ALAM, 19 MEI: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan bantuan segera kepada mangsa kejadian kebakaran di Kampung Wira Damai, Gombak, semalam.
Ketuanya Ahmad Azri Zainal Nor memaklumkan barangan keperluan berupa toto, selimut, bantal, air mineral, cerek air dan makanan kering berjumlah kira-kira RM3,000 disalurkan.
“Ia adalah sumbangan awal Yayasan MBI ke Pusat Perlindungan Sementara (PPS) Dewan Balai Raya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Wira Damai yang menempatkan mangsa rumah terbakar.
“Bantuan diserahkan semalam kepada wakil Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Ketua Kampung Wira Damai,” katanya kepada Media Selangor.
Tambah Ahmad Azri, Yayasan MBI turut bersedia menyalurkan sumbangan ehsan berbentuk wang tunai berjumlah RM3,000 kepada setiap keluarga.
“Ada lima keluarga melibatkan kira-kira 19 mangsa. Kita akan dapatkan permohonan lanjut daripada mereka.
“Selepas mereka dapat lampirkan laporan polis dan dokumen berkaitan, insya-Allah kita boleh bantu kira-kira RM3,000 sumbangan ehsan kepada setiap keluarga,” katanya.
Semalam, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar memaklumkan, dua rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Wira Damai, Gombak.
Menurutnya tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.