OLEH YASMIN RAMLAN
SHAH ALAM, 19 MEI: Selangor dijangka memuktamadkan keputusan berhubung larangan produk vape atau rokok elektronik dalam tempoh dua bulan, kata EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin.
Katanya, setakat ini, dua mesyuarat diadakan bagi membincangkan perkara tersebut bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan pihak berkuasa tempatan.
“Kita sedang bergerak ke arah pelaksanaan larangan, namun perlu berhati-hati dan mengambil pendekatan menyeluruh.
"Antara cabaran utama yang dikenal pasti ialah penjualan dalam talian tanpa kawalan, produk daripada jenama tidak berdaftar, serta pengeluaran tidak rasmi di kawasan kediaman,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas pelancaran Pusat Penyesuaian Iklim Selangor (SCAC) di Hotel Concorde, di sini hari ini.
Sebelum ini, Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan cadangan melarang penjualan produk vape dan rokok elektronik di Selangor akan dibentangkan pada sidang Dewan Negeri Selangor.
Cadangan itu susulan kebimbangan terhadap isu kesihatan yang semakin meningkat akibat penggunaan vape termasuk laporan mengenai pelajar menghisap vape berhampiran kawasan sekolah.
Sebelum ini, Terengganu mengumumkan larangan penjualan rokok elektronik di seluruh negeri bermula 1 Ogos, manakala Johor telah melaksanakan larangan penjualan dan pelesenan sejak 2016.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pula berkata Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk melarang penjualan rokok elektronik.
Beliau turut melahirkan kebimbangan bahawa penjualan vape boleh membawa kepada penyalahgunaan dadah sintetik jenis baharu.