ad
ADN

Ahli SMUE diminta kemas kini maklumat peribadi sebelum 1 Jun

19 Mei 2025, 7:32 AM
Ahli SMUE diminta kemas kini maklumat peribadi sebelum 1 Jun

OLEH TEOH YEE SHEN

AMPANG, 19 MEI: Ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) diminta mengesahkan maklumat peribadi segera selepas merima mesej sistem pesanan ringkas (SMS) berkaitan Khairat Darul Ehsan (KDE) yang dihantar oleh Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai Yew Jia Haur memaklumkan mesej tersebut adalah sahih dan bukan satu cubaan penipuan seperti yang dibimbangi sesetengah penerima.

“Kebimbangan timbul kerana mesej tersebut tidak mengandungi pautan, selaras dengan peraturan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang melarang penyertaan pautan dalam SMS, sekali gus mencetuskan kekeliruan dalam kalangan penerima.

“Untuk memastikan pelaksanaan yang lancar dan adil, ahli perlu mengesahkan maklumat diri dan waris selewat-lewatnya sebelum 1 Jun. Selepas tarikh itu, pendaftaran akan dibuka kepada semua rakyat Selangor berusia 50 tahun ke atas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau kerja mengecat semula kawasan luar dan ruang awam flat Taman Putra di sini, hari ini.

Jelas Jia Haur, sebelum ini waris ahli SMUE menerima bantuan RM500 sekiranya berlaku kematian. Namun, skim itu kini ditambah baik dan dinaik taraf kepada dana khairat kematian dengan jumlah bantuan meningkat kepada RM1,000.

Sebelum ini, pembayaran khairat kematian melalui SMUE pernah dihentikan pada Mei 2019 dan disambung semula pada 2021 dengan peruntukan RM7.5 juta bagi membolehkan waris layak menerima bantuan sebanyak RM500.

Menerusi Belanjawan Selangor 2025, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi melaksanakan skim ini, yang dijangka memanfaatkan kira-kira 20,000 warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.