ad
PENDAPAT

Nahas FRU, isu keselamatan kenderaan berat jadi perhatian

19 Mei 2025, 6:19 AM
Nahas FRU, isu keselamatan kenderaan berat jadi perhatian
Nahas FRU, isu keselamatan kenderaan berat jadi perhatian
Nahas FRU, isu keselamatan kenderaan berat jadi perhatian

Oleh Danial Dzulkifly

SHAH ALAM, 19 MEI: Nahas trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang meragut sembilan nyawa mencetuskan semula pertikaian isu keselamatan jalan raya dan kenderaan kerajaan yang uzur.

Berikutan itu, pakar keselamatan jalan raya Profesor Dr Law Teik Hua menggesa reformasi segera terhadap protokol pemeriksaan, perlindungan terhadap rasuah dan penyelarasan antara agensi.

Menurutnya, antara kebimbangan utama ialah jumlah kegagalan yang amat tinggi dalam pemeriksaan rutin bagi kenderaan komersial, dengan lebih 1.4 juta kenderaan dikesan pada 2023.

Isu lain, katanya, dokumen tamat tempoh, tayar haus, dan sistem brek rosak, menerusi pemeriksaan dua kali setahun kendalian Puspakom bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kira-kira 1.4 juta kenderaan yang gagal dalam ujian ini pada 2023 menghadapi masalah seperti dinyatakan, sekitar 20.3 peratus daripada keseluruhan,” katanya kepada Media Selangor.

Pakar dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) itu menambah penguatkuasaan masih terjejas meski pemeriksaan berkala dibuat disebabkan beberapa kelemahan.

“Ada kes di mana kenderaan yang tidak selamat masih melepasi pemeriksaan, menyebabkan Puspakom menggantung kakitangan yang terlibat dalam salah laku,” katanya.

Bagi menangani jurang tersebut, Teik Hua berkata Kementerian Pengangkutan memperkenal beberapa langkah baharu termasuk penubuhan pasukan petugas keselamatan trak berat.

[caption id="attachment_700892" align="aligncenter" width="808"] Keadaan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia dan lori muatan batu yang terbabit kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan pada 13 Mei 2025. Foto Facebook BERNAMA[/caption]

Penambahbaikan lain, katanya, pemantauan Sistem Kesedaran Automatik (Awas), dan penggunaan teknologi berpandukan data seperti teknologi Penimbangan Kelajuan Tinggi (HS-WIM).

Tiada bajet, tiada pemeriksaan

Aktivis keselamatan jalan raya Shahrim Tamrin berkata nahas FRU bukan sahaja mendedahkan kelemahan mekanikal, malah isu struktur yang lebih mendalam membabitkan agensi penguatkuasaan.

Beliau berkata banyak kenderaan kerajaan termasuk milik polis, bomba dan imigresen, misalnya, sudah berusia puluhan tahun dan beroperasi tanpa keperluan pemeriksaan standard.

“Mereka tiada bajet. Ada trak yang sudah berusia 25 hingga 30 tahun,” katanya, sambil menambah kenderaan penguatkuasaan kerajaan tidak tertakluk kepada pemeriksaan rutin Puspakom.

Tambahnya, Malaysia perlu mengikuti langkah sama seperti United Kingdom, Austria dan Jerman, yang menekankan peraturan ketat ciri keselamatan terutama penggunaan tali pinggang keledar.

Satu klik boleh selamatkan nyawa

Ketua pencegahan kecederaan dan promosi keselamatan Universiti Putra Malaysia berkata pencegahan kemalangan dan kecederaan perlu ditangani serentak, khususnya melibatkan kenderaan berat.

“Kemungkinan berlakunya kemalangan tinggi apabila kelajuan tinggi. Jika kita mahu kurangkan kemalangan, cara yang boleh diambil ialah mengurangkan kelajuan kenderaan,” kata Prof Dr Kulanthayan KC Mani.

[caption id="attachment_700848" align="aligncenter" width="812"] Keadaan lokasi kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan semasa konvoi pasukan FRU dalam perjalanan pulang selepas bertugas sempena Hari Wesak pada 13 Mei 2025. Foto Facebook Orang Awam[/caption]

Jelasnya, kenderaan berat mengambil masa lebih lama untuk berhenti, memerlukan ruang yang lebih luas, dan sering beroperasi di kawasan luar bandar atau jalan tidak berturap.

“Kenderaan berat sendiri adalah kenderaan berisiko berbanding mana-mana kenderaan lain disebabkan faktor muatan,” katanya.

Beliau juga memberi amaran kesan serius jika menaiki kenderaan tanpa perlindungan seperti tali pinggang keledar, dengan menggambarkan tiga fasa kecederaan maut: pelanggaran antara penumpang, terpelanting ke rangka kenderaan, dan trauma organ dalaman akibat nyahpecutan berkelajuan tinggi.

“Kemungkinan untuk terselamat dalam kemalangan tanpa sebarang kekangan amat jarang berlaku. Peluangnya amat tipis. Peraturan utama ialah kekalkan kelajuan rendah dan pastikan kita berikat.”

Kulanthayan menambah syarikat perlu mengambil tanggungjawab lebih besar terhadap penyelenggaraan kenderaan, khususnya kerana kenderaan ini digunakan secara intensif.

“Kenderaan sebegini … perlu diselenggara secara berkala. Syarikat pengangkutan barangan berat perlu memastikan kenderaan mereka sentiasa selamat.”

Pada 13 Mei, sembilan anggota FRU terkorban, manakala sembilan lagi cedera selepas trak yang dinaiki bertembung dengan lori pasir di simpang Jalan Chikus–Sungai Lampam, ketika mereka dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Sungai Senam, Teluk Intan, Perak.

Insiden itu mendapat perhatian Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru tindakan lebih tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kemalangan maut atau mencederakan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj beritah lesen pemandu dan pemilik syarikat perlu dibatalkan jika didapati bersalah selain daripada denda atau penjara.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.