SHAH ALAM, 19 MEI: Sebuah premis urut sekitar Selayang diarah tutup dalam serbuan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 16 Mei lalu kerana beroperasi tanpa lesen.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, premis itu turut dikenakan kompaun RM1,000 di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pusat Kecantikan dan Pusat Kesihatan MPS.
Selain itu, serbuan di Uptown Sri Gombak mendapati sembilan tapak penjaja menjalankan aktiviti refleksologi menggunakan khidmat pekerja warga asing dan menyediakan rawatan urutan badan tanpa kebenaran.
“Susulan itu, MPS menyita barangan perniagaan melibatkan 27 kerusi malas, lapan khemah perniagaan, enam katil urut dan 49 kerusi kecil,” katanya menerusi Facebook.
Selain itu, dalam operasi sama di Kolam Air Panas Selayang, tujuh gerai beroperasi tanpa permit dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan di bawah UUK 3 Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian, UUK3(1) Pelesenan Establisymen Makanan dan UUK Penjaja.
“Tindakan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang akan diteruskan untuk memastikan setiap aktiviti perniagaan di kawasan pentadbiran MPS mematuhi peraturan,” katanya.