IPOH, 19 MEI: Pemandu lori yang didakwa atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Selasa lalu diikat jamin pagi ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata jaminan berkenaan dibayar majikannya RM6,000 dengan seorang penjamin.
“Pemandu lori ini akan diberi jaminan mahkamah dan majikannya telah membayar wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.
“Orang Kena Tuduh (OKT) akan dibebaskan hari ini dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jumaat lalu, Mahkamah Majistret Teluk Intan menetapkan jaminan RM6,000 terhadap Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, selepas dituduh memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU.
Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan tidak lebih RM50,000, serta hilang kelayakan memegang dan mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.
Dia gagal membayar ikat jamin itu menyebabkan tertuduh ditahan di lokap hingga pagi tadi.
- BERNAMA