ad
AGENDA

Gaduh isu hutang, remaja 17 tahun parah ditikam kenalan

18 Mei 2025, 7:30 AM
Gaduh isu hutang, remaja 17 tahun parah ditikam kenalan

MELAKA, 18 MEI: Seorang remaja lelaki cedera parah selepas ditikam dengan sebilah pisau oleh kenalannya dalam insiden pergaduhan di Kampung Paya Sum di sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, mangsa yang berusia 17 tahun disyaki ditikam lelaki berusia 23 tahun disebabkan isu hutang.

"Pada mulanya, polis menerima laporan daripada suspek mengatakan dia serta kenalannya berusia 17 tahun itu ditikam dua lelaki tidak dikenali menaiki motosikal dan kes dipercayai akibat samun.

"Namun hasil siasatan lanjut, kita percaya lelaki berusia 23 tahun itu yang menikam mangsa kerana remaja berkenaan didakwa mempunyai hutang dengannya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Christopher berkata mangsa kini dirawat di Hospital Melaka manakala suspek yang berasal dari Johor dan mempunyai sembilan rekod jenayah lampau berkaitan judi ditahan di Taman Pahlawan Sungai Udang di sini kira-kira 6.15 petang Jumaat.

Beliau berkata lelaki itu turut menerima rawatan di Hospital Melaka dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.