ad
AGENDA

1,212 saman dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan, 1,300 motosikal diperiksa

17 Mei 2025, 5:34 AM
1,212 saman dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan, 1,300 motosikal diperiksa

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Sebanyak 1,300 motosikal diperiksa dalam Op Samseng Jalanan yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di beberapa lokasi panas di sekitar ibu negara, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata selain sebagai rutin bagi mengurangkan kes kemalangan, operasi berkenaan juga dijalankan susulan aduan bunyi bising motosikal yang mengganggu pelanggan pada waktu malam oleh pemilik hotel.

Beliau berkata antara lokasi panas terlibat dalam operasi bermula 9 malam itu ialah Jalan Tun Razak, Jalan Ampang, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Laut, Jalan P Ramlee, Jalan Bukit Bintang dan Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke).

“Dalam operasi ini kita mengesan pelbagai kesalahan seperti ubah suai kenderaan, tiada lesen memandu dan tiada cukai jalan, malah ada yang cuba melarikan diri dengan melawan arus kerana tidak mahu diperiksa dalam sekatan jalan raya.

“Saya menyeru orang ramai terutama ibu bapa memantau anak-anak mereka, lebih-lebih lagi ketika Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung tidak lama lagi kerana kegiatan berlumba dan membuat bising dengan motosikal boleh memalukan negara,” katanya kepada pemberita ketika operasi berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata dalam operasi yang berakhir 4.30 pagi itu, PDRM mengeluarkan 1,006 saman manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut menyertai operasi mengeluarkan 206 saman.

Sebanyak 55 motosikal dan sebuah kereta turut disita.

Sementara itu, tinjauan di lokasi sekatan jalan raya di Jalan Ampang mendapati penunggang motosikal cuba melarikan diri dengan menunggang melawan arus tanpa memikirkan keselamatan mereka dan pengguna jalan raya lain demi mengelak daripada pemeriksaan.

Namun percubaan itu dihidu polis bermotosikal yang bersedia menghalang mereka daripada melarikan diri.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.