TURKI, 17 MEI: Kerajaan Negeri Selangor berkongsi pengalaman mengurus bencana seperti banjir dan tanah runtuh dalam program 7th International Symposium on Natural Hazards and Disaster Management (ISHAD) 2025 di Diyarbakır, Turki.
Delegasi negeri yang diketuai EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi itu turut membentangkan mengenai langkah yang diambil Selangor dalam memperkukuh kesiapsiagaan termasuk penggunaan teknologi, penglibatan komuniti serta koordinasi antara agensi.
“Saya turut diberi penghormatan menyampaikan pembentangan terkait pengalaman negeri Selangor dalam mengemudi pengurusan pasca bencana seperti banjir dan tanah runtuh,” kata Mohd Najwan menerusi Facebook.
[caption id="attachment_701472" align="aligncenter" width="1069"] EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi membentangkan pengalaman Selangor menguruskan pasca bencana banjir dan tanah runtuh di 7th International Symposium on Natural Hazards and Disaster Management (ISHAD) 2025 di Diyarbakır, Turki pada 17 Mei 2025. Foto Facebook Najwan Halimi[/caption]
Menurutnya, Selangor turut komited meneroka kerjasama dengan agensi dan pakar bagi memperkasa lagi keupayaan negeri dalam menangani bencana dengan lebih berkesan.
ISHAD 2025 menghimpunkan pakar, penyelidik dan pembuat dasar dari seluruh dunia untuk berkongsi pendekatan serta inovasi dalam bidang pengurusan bencana alam.
Terdahulu Mohd Najwan bersama Pegawai Daerah Petaling Huzunul Khaidil Mohammed dan Pegawai Daerah Kuala Langat Tengku Rohana Tengku Nawawi mengadakan lawatan kerja ke pejabat Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD) di Istanbul.
Pertemuan bersama AFAD itu turut disertai Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar.
AFAD adalah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri Turki yang bertanggungjawab mencegah serta meminimumkan kerosakan berkaitan bencana serta merancang dan menyelaras tindak balas pasca bencana.
AFAD juga merupakan agensi induk yang menyelaraskan kerjasama di kalangan pelbagai agensi kerajaan di Turki terkait pengurusan bencana.
[caption id="attachment_701478" align="aligncenter" width="1438"] EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi (empat, kiri) mengadakan lawatan kerja ke pejabat Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD) di Istanbul pada 14 Mei 2025. Turut serta Pegawai Daerah Petaling Huzunul Khaidil Mohammed, Pegawai Daerah Kuala Langat Tengku Rohana Tengku Nawawi dan Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar. Foto Facebook Najwan Halimi[/caption]