ad
AGENDA

Penuntut ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras

17 Mei 2025, 12:54 AM
Penuntut ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras

BANDAR PERMAISURI, 17 MEI: Penuntut lelaki Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di kawasan perkelahan Hutan Lipur Lata Payung di sini semalam.

Abed Mifzal Azman, 22, berasal dari Johor ditemukan 9.30 malam tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat dengan dibantu penduduk kampung, kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Setiu Supt Mohd Zain Md Deris berkata mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat.

Beliau berkata dalam kejadian petang semalam, mangsa yang merupakan penuntut tahun pertama Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam) itu berkelah bersama enam rakannya sebelum berlaku kejadian kepala air.

“Enam rakan mangsa bagaimanapun sempat menyelamatkan diri tetapi mangsa dihanyutkan arus deras.

“Sebelum itu, mangsa dikatakan cuba menyelamatkan diri dengan naik ke atas batu di tebing sungai tetapi kepala air menghanyutkan mangsa,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zain menasihati orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti di sungai atau hutan lipur di Setiu buat masa ini kerana keadaan cuaca tidak menentu dan terdedah ancaman kejadian kepala air.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.