ad
AGENDA

Lawatan Anwar teroka potensi baharu, kerjasama perdagangan, perkukuh hubungan

17 Mei 2025, 12:20 AM
Lawatan Anwar teroka potensi baharu, kerjasama perdagangan, perkukuh hubungan
Lawatan Anwar teroka potensi baharu, kerjasama perdagangan, perkukuh hubungan
Lawatan Anwar teroka potensi baharu, kerjasama perdagangan, perkukuh hubungan

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

KAZAN, (TATARSTAN), 17 MEI: Hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan Persekutuan Rusia terus diperkukuh menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berakhir semalam.

Perdana menteri dalam sidang media pada hari terakhir lawatannya, berkata hubungan erat antara kedua-dua negara akan diterjemahkan melalui kerjasama perdagangan yang lebih kondusif, termasuk meneroka bidang baharu yang ditawarkan kedua-dua pihak.

Malaysia, katanya dijangka meraih manfaat besar khususnya dalam sektor pelancongan menerusi syarikat penerbangan Aeroflot yang dijangka menyambung semula penerbangan ke negara ini tidak lama lagi.

“Dalam pertemuan saya dengan Presiden Vladimir Putin, beliau turut menyatakan secara terbuka hasrat untuk memperluas jaringan halal serta perbankan dan kewangan Islam,” katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi bermula 13 Mei lalu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mengetuai delegasi yang turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Li Kang, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Anwar berkata sepanjang lawatan, beliau dan delegasi mengadakan pertemuan dengan 24 syarikat di Rusia yang berminat melebarkan perniagaan mereka di Malaysia serta mengadakan dua majlis perniagaan dengan syarikat yang ingin mengetahui lebih lanjut aspek perdagangan di negara ini.

“Saya juga mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Mikhail Mishustin untuk membincangkan kerjasama dua hala merangkumi agrokomoditi, pertanian, koko, minyak sawit serta isu yang menghalang kerjasama lebih rapat. Semua itu akan diusahakan penyelesaiannya secara cekap.

[caption id="attachment_701454" align="aligncenter" width="892"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama ketika Sesi Plenari Forum Ekonomi Antarabangsa XVI “Russia – Islamic World: KazanForum 2025” di Dewan Konsert, Kazan Expo pada 16 Mei 2025. Foto BERNAMA[/caption]

“Namun, fokus utama kita ialah minyak sawit dan produk berasaskan sawit. Selain itu, kita turut memberi penekanan terhadap industri kimia, perabot, peruncitan, pembangunan infrastruktur termasuk dalam bidang digital dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau amat tertarik dengan suasana di Republik Tatarstan yang berpegang teguh pada ajaran Islam namun dalam masa sama menjalin hubungan baik dengan gereja Ortodoks.

“Saya harap semangat kerjasama yang diamalkan di sini dapat kita contohi,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai insiden MH17, Anwar berkata beliau sempat membangkitkan isu keputusan laporan siasatan yang dikeluarkan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) ketika pertemuannya dengan Presiden Putin.

“Kebetulan saya merupakan antara ketua kerajaan pertama yang menemui Presiden Putin sejurus selepas laporan itu dikeluarkan.

“Namun, jawapan Presiden Putin jelas, pertama, beliau menzahirkan rasa kesal terhadap tragedi itu dan menyampaikan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa. Kedua, beliau menyatakan kesediaan Rusia untuk terus memberikan kerjasama sekiranya siasatan lanjut perlu dijalankan,” katanya.

Baru-baru ini, ICAO memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab terhadap insiden tembakan ke atas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 196 warga Belanda serta 38 warga dan penduduk Australia pada 2014.

Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan berasingan oleh kerajaan Belanda dan Australia Isnin lalu, yang menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah keadilan serta pertanggungjawaban terhadap mangsa dan keluarga mereka.

- BERNAMA

[caption id="attachment_701058" align="aligncenter" width="1176"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut Presiden Vladimir Putin di Kremlin ketika dalam rangka lawatan ke Rusia pada 14 Mei 2025. Foto Facebook BERNAMA[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.