PUTRAJAYA, 16 MEI: Jabatan Imigresen diarahkan supaya mempergiat penguatkuasaan di lokasi tumpuan warga asing.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata operasi berkenaan akan dilaksanakan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Pendaftaran dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata setakat 13 Mei lepas, Jabatan Imigresen telah melaksanakan 5,001 operasi dan menahan 34,287 pendatang tanpa izin serta 669 majikan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Tahun 2025 telah diisytiharkan sebagai ‘Tahun Penguatkuasaan’. Saya sendiri telah mengarahkan Ketua Pengarah Imigresen untuk mempergiat operasi penguatkuasaan secara bersepadu dan berskala besar dengan memberi fokus kepada kawasan tumpuan warga asing,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.
Saifuddin Nasution turut memberi peringatan kepada semua majikan yang masih lagi menggaji pekerja asing tidak sah atau melindungi pendatang tanpa izin, bahawa mereka tidak terlepas daripada tindakan undanga-undang apabila oeprasi penguatkuasaan dijalankan.
Menurut beliau, majikan yang masih menggaji atau melindungan pendatang tanpa izin boleh didenda maksimum RM50,000 bagi setiap pendatang selain dipenjara tidak lebih lima tahun dan disebab jika sabit kesalahan.
“Kementerian tidak berkompromi dalam usaha membanteras keberadaan warga asing secara haram di negara ini, sejajar dengan komitmen untuk memperkukuh kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara,” katanya.
Pada majlis itu, Saifuddin Nasution menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 458 penerima antaranya daripada Ibu Pejabat Jabatan Imigresen dan Akademi Imigresen Malaysia.
-- BERNAMA