ad
BERITA UTAMA

EXCO: Selangor pantau pencemaran udara, siap siaga hadapi jerebu

16 Mei 2025, 12:00 PM
EXCO: Selangor pantau pencemaran udara, siap siaga hadapi jerebu

OLEH DEWI ABDUL RAHMAN

SHAH ALAM, 16 MEI: Kerajaan Negeri berkerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan kilang-kilang di negeri ini mematuhi penggunaan sistem kawalan pencemaran yang baik.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata langkah itu penting bagi melindungi kualiti udara dan kesihatan rakyat terutama ketika risiko jerebu dijangka meningkat susulan peralihan Monsun Barat Daya.

“Kilang yang gagal mematuhi peraturan kawalan pencemaran akan dikenakan tindakan tegas. Pada masa sama, PBT digesa memperhebat program kesedaran tentang bahaya pencemaran udara,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai risiko jerebu, Jamaliah memaklumkan Kerajaan Negeri bersedia mengaktifkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat.

Beliau turut menasihati orang ramai agar mengurangkan aktiviti luar, minum air secukupnya dan segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala seperti sesak nafas atau batuk teruk.

“Langkah segera akan diambil termasuk melarang aktiviti luar bagi pelajar, memberi nasihat pemakaian pelitup hidung dan mulut serta menyebarkan amaran berjaga-jaga kepada masyarakat ,” ujarnya.

Tambah beliau, tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu atau pihak yang didapati melakukan pembakaran terbuka termasuk membakar sampah secara tidak terkawal.

Monsun Barat Daya yang bermula pada 10 Mei dijangka berterusan sehingga September dengan taburan hujan rendah di kebanyakan kawasan seluruh negara.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca panas dan kering sepanjang tempoh ini berpotensi meningkatkan risiko jerebu jika aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.

Sebarang insiden pembakaran terbuka boleh dilaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui talian bebas tol 1-800-88-2727.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.