KUALA LUMPUR, 16 MEI: Seorang bekas pembantu kedai menerima padah apabila didenda RM100 oleh Mahkamah Majestret di sini hari ini kerana mengaibkan seorang wanita dengan memaparkan wajah mangsa sebelum dan selepas bersolek semasa siaran langsung di platform TikTok.
Majistret Farah Nabihah Muhamad turut memerintahkan hukuman penjara dua hari terhadap Nurul Hidayah Yusuf, 23, yang mengaku bersalah atas perbuatan itu, sekiranya gagal menjelaskan denda.
Mengikut pertuduhan, Nurul Hidayah didakwa mengaibkan wanita berumur 23 tahun itu dengan meletak gambar mangsa sebagai imej latar belakang siaran langsung di TikTok dan membuat perbandingan muka mangsa sebelum dan selepas bersolek tanpa kebenaran.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah kondominium di Sentul pada 10.51 pagi, 5 April lepas.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.
Berdasarkan fakta kes, mangsa mengetahui tentang insiden itu selepas menerima rakaman skrin siaran langsung berkenaan daripada rakannya melalui WhatsApp. Merasa terhina dan aib dengan perbandingan tersebut, mangsa bertindak membuat laporan polis.
Dalam prosiding hari ini, Nurul Hidayah yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana telah kehilangan pekerjaan, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.
-- BERNAMA