SHAH ALAM, 16 MEI: Selangor sentiasa menitikberatkan kebajikan guru dalam merangka strategi pendidikan negeri, selaras komitmen meletakkan pendidikan sebagai keutamaan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata guru adalah penyuluh ilmu kehidupan yang menuntun kita menjadi manusia berguna kepada keluarga dan negara.
“Tanpa guru, mana mungkin dapat kita kecapi pelbagai kejayaan dan kemakmuran yang sedang dinikmati.
“Di Selangor, pendidikan sentiasa diutamakan dan sebagai individu yang memegang portfolio pendidikan, saya akan sentiasa menitikberat soal kebajikan guru ketika merangka strategi pendidikan negeri,” katanya menerusi Facebook.
Sambil menitipkan ucapan Selamat Hari Guru, Amirudin berkata guru adalah insan yang tidak mengenal erti lelah dan payah dalam mendidik anak bangsa.
“Selamat Hari Guru saya ucapkan kepada insan-insan yang tidak mengenal erti lelah dan payah dalam mendidik anak bangsa iaitu guru.
“Terima kasih cikgu-cikgu yang mendidik anak-anak kami, jasa anda semua sentiasa kami hargai,” katanya.