ad
AGENDA

Op Dadu Mega: 124 termasuk warga asing dicekup, 52 ekor ayam dirampas

16 Mei 2025, 7:43 AM
Op Dadu Mega: 124 termasuk warga asing dicekup, 52 ekor ayam dirampas
Op Dadu Mega: 124 termasuk warga asing dicekup, 52 ekor ayam dirampas
Op Dadu Mega: 124 termasuk warga asing dicekup, 52 ekor ayam dirampas

SUNGAI BULOH, 16 MEI: Seramai 124 individu termasuk 78 warga Indonesia ditahan dalam serbuan Op Dadu Mega yang dijalankan Polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di kawasan hutan berhampiran Melwood Arena, Sungai Buloh pada 11 Mei lalu.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJ Bukit Aman Datuk Fadil Marsus, berkata operasi bersepadu itu dijalankan hasil risikan Bahagian D7 sejak Oktober tahun lalu bagi mengekang kegiatan perjudian sabung ayam, judi luar bangunan (permainan bola golek) serta loteri awam tanpa lesen.

“Daripada jumlah yang ditahan, 46 adalah warga tempatan manakala 78 lagi warga Indonesia. Seramai 120 suspek adalah lelaki dan empat wanita,” katanya dalam kenyataan semalam.

Operasi berkenaan membabitkan kekuatan 94 anggota terdiri daripada bahagian D7 JSJ Bukit Aman, Unit Dron Pasukan Gerakan Udara, Unit K9 JSJ Bukit Aman dan Unit Veterinar Putrajaya.

Pihak polis turut merampas 52 ekor ayam hidup, tujuh ekor ayam mati, 17 bilah senjata taji ayam diperbuat daripada besi, serta satu alat penimbang berat dipercayai digunakan dalam aktiviti sabung ayam.

Turut dirampas ialah peralatan permainan bola golek dan kelengkapan loteri awam tanpa lesen, selain wang tunai berjumlah RM145,855.00.

Berikutan tangkapan itu, pihak polis membuka siasatan mengikut Seksyen 4A(a) dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 32(1) dan 32(2) Akta Kebajikan Haiwan 2015 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, kes masih di peringkat siasatan dan pihak polis menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah perjudian di kawasan masing-masing bagi membantu membanteras kegiatan itu daripada terus berleluasa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.