SHAH ALAM, 15 MEI: Kira-kira 30 tan ikan bandaraya (ikan pleco) ditangkap dalam program pemburuan spesies ikan asing itu di sungai sekitar Selangor sejak Mac tahun lalu hingga kini.
Pengarah Jabatan Perikanan Selangor berkata pemburuan spesie ikan pemangsa itu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk universiti, agensi swasta dan badan bukan kerajaan.
[caption id="attachment_701192" align="aligncenter" width="671"] Sesi tangkapan ikan bandaraya menerusi Program pemuliharaan ekosistem perikanan selangor di Sungai Buloh Kampung Melayu Sungai Buloh pada 15 Mei 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Menurut Noraisyah Abu Bakar, usaha berterusan itu perlu bagi memelihara ekosistem dan sumber perikanan darat negara ini, selain memastikan jaminan keselamatan makanan untuk masa depan.
“Kita kenal pasti sungai yang ekosistemnya rosak dan ikan asli atau tempatan di situ hampir pupus disebabkan kehadiran ikan bandaraya yang mempunyai sifat dominasi yang sangat tinggi.
“Ia juga merosakkan tebing sungai yang menimbulkan risiko ketidakstabilan struktur tebing dan membahayakan kawasan tersebut,” katanya Ketika ditemui selepas program pemuliharaan ekosistem perikanan Selangor di Sungai Buloh, Kampung Melayu Sungai Buloh di sini hari ini.
Program turut disertai oleh kira-kira 30 pelajar dan kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Skuad Pemburu Ikan Asing serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kampung Melayu Subang berjaya mendaratkan kira-kira 1.1 tan ikan bandaraya.
Noraisyah turut menasihatkan orang ramai khususnya pemilik ikan akuarium, supaya tidak melepaskan ikan belaan mereka sewenang-wenangnya ke dalam perairan umum kerana boleh mengancam ekosistem semula jadi, terutama jika melibatkan spesies invasif.
[caption id="attachment_701193" align="aligncenter" width="666"] Pengarah Perikanan Selangor Noraisyah Abu Bakar berucap pada Program pemuliharaan ekosistem perikanan selangor di Sungai Buloh Kampung Melayu Sungai Buloh pada 15 Mei 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
“Mungkin ada keadaan mereka sudah tidak mampu bela ikan itu lagi, malah tahu ia ikan invasif. Jadi boleh hubungi Jabatan Perikanan, kita akan ada pusat yang boleh dijadikan tempat untuk kita pelihara.
“Jangan melepaskan ikan sewenang-wenangnya ke perairan umum kerana hanya akan merosakkan ekosistem. Di Pulau Pinang kita ada institut penyelidikan perikanan yang menempatkan ikan invasif sebagai pameran untuk orang lebih kenal dan tahu,” katanya.
Sejak tahun lalu, Selangor giat mengurangkan populasi ikan asing itu yang menjadi antara punca runtuhan tebing sungai dan ban kerana menebuk lubang untuk bertelur.
Pembiakan tidak terkawal ikan berkenaan turut menggugat ekosistem perairan selain menjadi pemangsa ikan tempatan.