SHAH ALAM, 15 MEI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang menyalurkan peruntukan berjumlah RM10,000 kepada setiap 15 sekolah bagi tujuan pembangunan pendidikan dan penambahbaikan prasarana.
Wakil rakyatnya Dr Quah Perng Fei berkata peruntukan keseluruhan RM150,000 itu antara usaha pihaknya untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif, selamat dan berkualiti tinggi.
“Peruntukan ini bertujuan menyokong pembangunan pendidikan serta penambahbaikan prasarana di peringkat sekolah rendah dan menengah di Bandar Baru Klang.
"Sumbangan itu juga demi melahirkan bakal pemimpin dan membangun masa depan negara yang lebih cemerlang. Usaha ini bukan sekadar pelaburan terhadap sistem pendidikan, tetapi terhadap masa depan negara,” katanya di Facebook.
Sesi serahan sumbangan itu diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bandar Baru Klang, semalam.
Dalam program tersebut, Fei turut berdialog dengan wakil sekolah untuk memahami situasi semasa, cabaran serta keperluan khusus yang dihadapi oleh pihak sekolah.