ad
AGENDA

Penyamun kedai dobi maut berbalas tembakan, ada 34 rekod jenayah lampau

15 Mei 2025, 5:30 AM
Penyamun kedai dobi maut berbalas tembakan, ada 34 rekod jenayah lampau

GEORGE TOWN, 15 MEI: Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam jenayah samun, pecah rumah dan samun dobi layan diri di Pulau Pinang maut selepas berbalas tembakan dengan polis di Jalan Lintang Bukit Jambul, Bayan Lepas dekat sini hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira 4.05 pagi tadi, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah negeri yang sedang menjalankan operasi cegah jenayah telah terserempak dengan kereta jenis BMW yang kelihatan mencurigakan.

"Pihak polis menghampiri kereta tersebut dan memperkenalkan diri, tiba-tiba lelaki yang memandu kereta itu telah keluar daripada kenderaan sebelum melepaskan tembakan ke arah kenderaan polis.

"Seterusnya pasukan polis telah melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati lelaki tempatan berusia 35 tahun itu telah mati di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan dalam kereta lelaki itu membawa kepada penemuan sepucuk pistol jenis FNP-45 bersama tiga butir peluru, sebatang besi, dua batang kayu, dua bilah parang, 22.5 gram dadah jenis methamphetamine, jammer signal dan pelbagai peralatan untuk memecah rumah.

Hamzah berkata pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai 19 rekod lampau berkaitan jenayah serta 15 rekod berkaitan narkotik, dan mayatnya telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

Susulan kejadian itu, beliau berkata polis menahan tujuh lelaki serta seorang wanita tempatan yang kesemuanya 20-an hingga 40-an di beberapa lokasi sekitar Pulau Pinang yang dipercayai terlibat dengan suspek dalam menjalankan kegiatan jenayah.

"Polis percaya dengan penahanan kesemua mereka kami telah berjaya menyelesaikan 25 kes samun, pecah rumah dan pecah dobi layan diri yang berlaku di Kontijen Pulau Pinang membabitkan kerugian keseluruhan sebanyak RM500,000," katanya.

Beliau berkata empat daripada lapan suspek yang ditahan itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan kesemua mereka akan direman bagi membantu siasatan.

"Polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960. Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.