ad
AGENDA

Nahas trak FRU: Tiga anggota masih kritikal, tidak sedarkan diri

14 Mei 2025, 3:25 PM
Nahas trak FRU: Tiga anggota masih kritikal, tidak sedarkan diri

IPOH, 14 MEI: Tiga anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan di Teluk Intan pagi semalam masih berada dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata anggota berkenaan ialah Koperal Haslizal Mohd Ali, 44, Sarjan Mazlan Mat, 50, dan Koperal Mohd Izwan Ishak, 39.

“Mereka kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan.

“Hari ini pihak kami mengadakan ziarah kebajikan ke atas mangsa yang cedera dalam kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata terdapat empat anggota yang cedera sudah sedar dan dirawat di hospital sama.

Mereka ialah Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zullkifli, 34, Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26, Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin, 39, dan Sarjan Mohd Parih Ali, 44.

Dalam kejadian 8.50 pagi semalam, sembilan anggota FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh maut selepas trak yang mereka naiki berlanggar dengan lori muatan batu kerikil, sekali gus menyebabkan lapan anggota maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Teluk Intan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.