ad
PBT

Stadium Mini Kuala Kubu Bharu berpotensi jadi lokasi acara SUKMA 2026

14 Mei 2025, 1:40 PM
Stadium Mini Kuala Kubu Bharu berpotensi jadi lokasi acara SUKMA 2026

Oleh: Dewi Abdul Rahman

HULU SELANGOR, 14 MEI: Stadium Mini Kuala Kubu Bharu berpotensi menjadi venue rasmi acara bola sepak wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 tahun depan.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) berkata langkah ini diperhalusi melalui kunjungan hormat yang diadakan Sekretariat SUKMA diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mohd Yazid Sairi ke MPHS untuk menilai kesesuaian stadium itu bagi penganjuran temasya sukan terbesar negara itu.

"Pelbagai kerja penambahbaikan sedang dilaksanakan untuk memastikan kemudahan dan fasiliti stadium mencapai standard ditetapkan.

"Antara pembaikan yang sedang dilakukan termasuk bumbung bocor, menambah ruang solat, menyediakan tandas Orang Kurang Upaya (OKU), membina bilik persalinan lelaki dan Wanita serta membaik pulih lampu highmast bagi membolehkan penggunaan stadium pada waktu malam," kongsi MPHS menerusi Facebook.

Sekiranya Stadium Mini Kuala Kubu Bharu terpilih sebagai salah satu lokasi rasmi penganjuran sukan terbabit, MPHS yakin langkah itu bukan saja mengharumkan nama Kuala Kubu Bharu sebagai Bandar Terancang pertama Tanah Melayu, tetapi turut menjadi platform memperkenalkan sukan dan pelancongan di daerah Hulu Selangor.

"Pelbagai aktiviti menarik seperti water rafting, paragliding, dan sukan lasak lain di kawasan ini dapat diketengahkan kepada delegasi atlet dan pengunjung dari seluruh negara.

"Selain itu, penganjuran SUKMA di negeri ini dijangka memberi kesan positif terhadap ekonomi setempat dengan peningkatan peluang perniagaan serta pendedahan kepada acara bertaraf nasional," tambah pihak berkuasa tempatan itu.

Selangor menjadi tuan rumah temasya SUKMA 2026 selepas kali terakhir menganjur sukan berprestij itu pada 1998.

Dalam pembentangan Belanjawan Negeri, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk melaksana program pembangunan sukan sebagai persiapan SUKMA ke-22.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.