SHAH ALAM, 14 MEI: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan mengurniakan pingat kepada 155 penerima sempena keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor ke-79.
Berlangsung di Dewan Jubli Perak di bangunan pentadbiran negeri, pengurniaan itu melibatkan penerima daripada Gombak, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Langat, Sepang dan Hulu Langat.
Tengku Amir Shah memulakan istiadat dengan mengurniakan Pingat Kecemerlangan Sukan Selangor (PKS) kepada bekas pesilat negara Muhammad Afifi Nordin yang meraih emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Istiadat yang dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengurniakan Pingat Pekerti Terpilih kepada 10 penerima, Pingat Perkhidmatan Cemerlang (18) serta Pingat Jasa Kebaktian (114).
Semalam, Tengku Amir Shah turut mengurniakan pingat kepada 184 penerima dari Petaling dan Klang termasuk tiga pemain Selangor Red Giants (SRG).
Hazziq Danish Mohd Rizwan (Stormie), Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys) dan Muhammad Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (YumS) dikurniakan PKS.