SHAH ALAM, 14 MEI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing mempelawa orang ramai menyertai Bengkel Bahasa Isyarat “Communicate With Hands” yang diadakan secara percuma di Balai Raya MBPJ Seksyen 17/1.
Bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, wakil rakyatnya R Rajiv berkata bengkel itu diadakan beberapa siri dari 17, 18, 24 dan 25 Mei; 15 dan 22 Jun serta 5 dan 6 Julai.
“Bengkel ini terbuka kepada orang ramai sama ada yang mahu belajar atau ingin mengukuhkan lagi asas bahasa isyarat mereka.
“Membabitkan lapan sesi pembelajaran, program ini bertujuan memupuk komunikasi yang lebih inklusif dan memberi peluang untuk belajar bahasa isyarat dalam suasana lebih santai,” katanya menerusi Facebook.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama badan bukan kerajaan Sign On dari Bahasa Isyarat Malaysia.
Dalam pada itu, Rajiv menggalakkan penyertaan penuh dalam kalangan peserta susulan ia merupakan program berterusan dan terdapat tambahan modul baharu bagi setiap sesi.
“Kandungan bengkel meliputi asas bahasa isyarat serta beberapa tambahan modul lanjutan untuk peserta yang pernah menyertai,” katanya.
Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan, orang ramai boleh hubungi Somes di talian 011-2645 5538 atau Shona 016-423 2119 melalui WhatsApp.