SHAH ALAM, 14 MEI: Warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing dipelawa menjalani saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri pada Sabtu ini.
Wakil rakyatnya R Rajiv berkata program di bawah inisiatif Selangor Saring itu dijadual berlangsung mulai 9 pagi hingga 3 petang di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
“Pemeriksaan yang disediakan termasuk ujian jantung, darah tinggi, kencing manis, buah pinggang, barah, mata, telinga dan gigi,” katanya menerusi Facebook.
Orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) semudah empat langkah mudah:
- memuat turun SELangkah
- tekan butang Selangor Saring
- isi borang soal selidik
- pilih lokasi dan tarikh program
Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan Selangor 2025 memperuntukkan RM2 juta bagi meneruskan program saringan kesihatan percuma yang dimulakan sejak 2022.
Inisiatif ini dilaksana bagi mengesan penyakit lebih awal dengan menyasar individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.