ad
AGENDA

Dua tahun untuk baik pulih, bina semula kediaman terjejas di Putra Heights

13 Mei 2025, 2:00 PM
Dua tahun untuk baik pulih, bina semula kediaman terjejas di Putra Heights
Dua tahun untuk baik pulih, bina semula kediaman terjejas di Putra Heights

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjangkakan kediaman yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada awal bulan lalu dapat dibina dan dibaik pulih sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

Menterinya Nga Kor Ming berkata setakat ini, kerja membina dan membaik pulih 219 kediaman penduduk yang terjejas mengikut pelan dan jangka masa ditetapkan.

“Kontraktor kini giat menjalankan kerja membaik pulih dan membina kediaman yang musnah, saya harap dalam tempoh kurang dua tahun kita dapat siapkan rumah baharu untuk mangsa terlibat - yang musnah sepenuhnya kita bina rumah baharu untuk mereka manakala rumah boleh dibaiki, kita baik pulih,” katanya.

[caption id="attachment_699140" align="aligncenter" width="944"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ketika sidang media majlis Penyerahan Bantuan Sewa Rumah kepada mangsa kebakaran paip gas Putra Heights di Bangunan SUK, Shah Alam pada 30 April 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Beliau ditemui sebelum menjadi tetamu dalam rakaman program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang membincangkan tajuk “UN-HABITAT: Malaysia Sedia Terajui Pembangunan Mampan Global” di Wisma Bernama di sini hari ini.

Nga berkata kerajaan menerusi KPKT memperuntukkan RM46 juta bagi proses membaik pulih rumah dan infrastruktur awam yang terjejas dalam insiden letupan terbabit.

Insiden kebakaran saluran paip gas pada 1 April lalu menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Insiden itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar manakala 21 rumah tidak terjejas.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.