KUALA LUMPUR, 13 MEI: Dua penuntut sebuah universiti di Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu ibu seorang daripada mereka dengan membuat lakonan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah RM2.9 juta.
Zhang Runbao, 23, dan Ye Yingxi, 18, yang merupakan warga China didakwa menipu ibu Ye iaitu Cheng Zhiwen dengan membuat panggilan dan menunjukkan video Ye diculik, badannya dalam keadaan separuh bogel, tangan diikat, mulut ditutup dengan pita pelekat berwarna hitam, leher dicekik, badan dipijak dan mukanya dituang air.
Tertuduh kemudian membuat ugutan dan pemerasan dengan meminta Cheng memasukkan duit tebusan sebanyak lima juta Yuan (bersamaan RM2.9 juta) ke dalam satu akaun di China dengan kesemua perbuatan itu ialah lakonan bagi mendorong Cheng menyerahkan wang tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, antara 11.44 pagi hingga 9.15 malam, 2 Mei lepas mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 dan Seksyen 34 kanun sama.
Seksyen 420 memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda manakala Seksyen 511 berdepan hukuman penjara tidak lebih setengah daripada tempoh paling lama diperuntukkan di bawah Seksyen 420, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua lelaki terbabit juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan berhubung kesalahan sama mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim Azrul Darus yang menetapkan sebutan kes pada 27 Mei ini membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin serta dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Radzuan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ernie Sulastri Ahmad dan Ramesh Sivakumar.
-- BERNAMA