KUALA SELANGOR, 13 MEI: Segala dakwaan berkaitan ketelusan proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) perlu disertakan dengan bukti sahih dan bukan bersandarkan sentimen atau andaian semata-mata.
Naib Presidennya Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses pemilihan barisan kepimpinan sesi 2025–2028 dilaksanakan secara telus oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) termasuk menjalankan pengundian semula di beberapa cabang.
“Beberapa proses audit yang menyeluruh telah dibentangkan. Saya percaya kita telah cuba menjamin sebaik mungkin proses itu dilakukan dengan adil.
“Malah JPP juga telah melakukan proses pengundian semula pun di beberapa cabang tetapi tetap ada dakwaan oleh mereka yang kecewa dan tidak berpuas hati.
“Dakwaan ini harus digalaskan atau disandarkan dengan bukti. Bukan dengan permainan sentimen atau hujahan-hujahan yang tidak jelas,” katanya kepada pemberita.
Beliau yang juga Dato' Menteri Besar ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan C di sini.
Pemilihan kepimpinan KEADILAN akan berlangsung pada 23 Mei ini menerusi pengundian fizikal di Berjaya Waterfront Hotel dan Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru.
Sementara itu, Kongres Nasional KEADILAN termasuk Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Wanita dijadualkan dari 22 hingga 24 Mei di lokasi sama.