KUALA SELANGOR, 13 MEI: Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) mampu memberi penyelesaian sehingga 99 peratus kepada masalah pencemaran air atau musim kemarau di Selangor.
Dato’ Menteri Besar berkata skim air membabitkan empat pakej itu kini hampir siap sepenuhnya, dengan pakej terbesar bawah Pakej A iaitu kolam Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) 600, dirasmikan hari ini.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, kolam HORAS 600 di Bestari Jaya di sini, mampu membekalkan air kepada 1.2 juta akaun pengguna dengan kapasiti pengepaman iaitu 2,733,000 juta liter sehari (MLD).
[caption id="attachment_700825" align="aligncenter" width="673"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat pameran ketika majlis Penyerahan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan Pakej C di Kolam Horas, Kuala Selangor pada 13 Mei 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kita belanjakan RM320 juta untuk pembinaan loji rawatan air dan pengepaman air bawah projek SJAM ini yang akan menjamin bekalan air mentah berterusan di Selangor.
“Ia sekali gus akan menjamin bekalan air kepada kita walaupun berlaku pencemaran atau kemarau. Saya tak berani kata sehingga 100 peratus kerana mungkin boleh berlaku cabaran lain yang tidak dapat dielakkan,” katanya pada sidang media.
Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis penyerahan stesen pam SJAM (Pakej A dan C) daripada pihak perunding kontraktor kepada Kerajaan Negeri dan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) Sdn Bhd.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Adam Saffian Ghazali.
[caption id="attachment_700823" align="aligncenter" width="676"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat stesen pam SJAM majlis Penyerahan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan Pakej C di Kolam Horas, Kuala Selangor pada 13 Mei 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Diperkenal dalam Belanjawan Selangor 2021, SJAM bertujuan menangani insiden pencemaran sungai dan kekurangan air mentah yang turut melibatkan inisiatif rondaan serta pemantauan proaktif 24 jam yang digerakkan Pasukan Tindakan Segera Lembaga Urus Air Selangor.
Bawah SJAM, Pakej A membabitkan pembinaan stesen pam HORAS 600, stesen pam di Rantau Panjang (Pakej B), lencongan Sungai Selangor (Pakej C), dan Pakej C merupakan stesen pam kolam di Semenyih.