ad
AGENDA

Malaysia bebas jangkitan bakteria dari ternakan khinzir, jamin situasi terkawal

13 Mei 2025, 2:26 AM
Malaysia bebas jangkitan bakteria dari ternakan khinzir, jamin situasi terkawal

PUTRAJAYA, 13 MEI: Malaysia masih bebas daripada jangkitan bakteria Streptococcus suis yang berpunca daripada ternakan babi, menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

DVS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya menerima pelbagai reaksi terhadap laporan media tempatan Thailand mengenai kes kematian manusia akibat jangkitan bakteria Streptococcus suis, yang berpunca daripada ternakan babi di Thailand baru-baru ini.

“Penyakit tersebut atau streptococcosis yang juga dikenali sebagai deafness fever pada manusia, telah mencetuskan amaran kesihatan awam di negara Thailand.

“Walau bagaimanapun, sehingga saat ini, Malaysia masih bebas daripada sebarang wabak penyakit babi yang disebabkan bakteria Streptococcus suis,” menurut kenyataan itu.

Streptococcus suis merupakan bakteria penting yang menyebabkan penyakit streptococcosis pada ternakan babi terutamanya dalam kalangan anak babi selepas bercerai susu.

Penyakit ini merupakan penyakit zoonotik iaitu penyakit yang boleh menjangkiti manusia melalui luka terbuka yang terdedah kepada darah atau cecair daripada babi yang dijangkiti atau dengan memakan daging babi yang tidak dimasak sempurna.

DVS memaklumkan antara tanda klinikal awal penyakit ini pada ternakan babi ialah demam, selera makan tidak menentu, tempang yang berubah-ubah antara kaki, kelesuan dan kemurungan.

“Ternakan babi yang dijangkiti juga boleh menunjukkan tanda klinikal meningitis yang lebih ketara seperti menarik telinga ke belakang serta mengecilkan mata, hilang koordinasi pergerakan dan menunjukkan posisi badan yang luar biasa (contohnya duduk seperti anjing),” menurut kenyataan itu.

DVS sentiasa memantau situasi semasa dan kekal komited memastikan kesihatan haiwan serta keselamatan makanan berasaskan haiwan sentiasa terpelihara demi melindungi kesihatan awam veterinar dan kesejahteraan rakyat.

Bagi individu yang terlibat dalam industri babi (penternak, pekerja rumah sembelih, pengangkut daging, dan penjual daging), amalkan langkah-langkah perlindungan diri yang sesuai seperti memakai sarung tangan dan pakaian pelindung semasa mengendalikan babi atau produk babi.

“Setiap penternak dan pengendali ternakan babi digalakkan berwaspada terhadap perubahan kesihatan diri dan segera mendapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan sekiranya bergejala,” menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.