ad
AGENSI

Program SELKitar babit lebih 50 taman perumahan mula hari ini

13 Mei 2025, 12:00 AM
Program SELKitar babit lebih 50 taman perumahan mula hari ini

SHAH ALAM, 13 MEI: Program Selangor Kitar Semula (SELKitar) yang dilaksanakan KDEB Waste Management (KDEBWM) bermula hari ini melibatkan lebih 50 taman perumahan.

Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Tahir berkata program tersebut membabitkan kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

“Pelaksanaan program bertujuan memperkasa kitar semula menerusi kutipan dari rumah ke rumah ini dengan kerjasama Nestle Malaysia. Kita telah kenal pasti lebih 50 taman perumahan dan penduduk juga telah dimaklumkan.

“Lori yang mengambil barangan kitar semula akan datang sehari pada setiap minggu, penduduk hanya perlu asingkan barangan kitar semula sahaja.

“Kita tidak menerima barangan lain selain kitar semula seperti tisu, kaca, lampin, puntung rokok dan minyak masak,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Berikut langkah-langkah yang perlu dipatuhi:

1. Asingkan bahan kitar semula (plastik, kertas, tin, kadbod, kotak minuman)

2. Bersihkan dan keringkan

3. Masukkan dalam kotak atau beg plastik

4. Letakkan di luar rumah mengikut jadual kutipan

Pada April lalu, Kerajaan Negeri menerusi KDEBWM memeterai kerjasama dengan Nestle Malaysia bagi memperkasa kitar semula menerusi kutipan dari rumah ke rumah.

Menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) itu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan kerjasama tersebut merupakan pra-permulaan dalam inisiatif yang diperkenal Kerajaan Negeri dalam pembentangan belanjawan sebelum ini.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, kerjasama strategik itu sejajar dengan apa yang digariskan dalam Belanjawan 2025 untuk mengurangkan sisa di kawasan pihak berkuasa tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada tapak kambus tanah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.