ad
AGENDA

Amirudin seru kempen dengan setiakawan, elak fitnah dan tuduh-menuduh

12 Mei 2025, 1:46 PM
Amirudin seru kempen dengan setiakawan, elak fitnah dan tuduh-menuduh

SHAH ALAM, 12 MEI: Dato’ Seri Amirudin Shari menyeru ahli Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengekalkan semangat setiakawan pada kempen pemilihan parti peringkat pusat yang sedang berlangsung.

Calon naib presiden itu juga menyeru agar semua calon dan penyokong menjauhkan diri daripada sebarang bentuk kempen berunsur fitnah dan tuduh-menuduh yang tidak berasas.

"Ini bukanlah amalan yang ingin kita lihat dalam proses pemilihan sebuah parti ‘reform’ yang dipanggil sebagai Parti Keadilan Rakyat.

"Justeru itu, saya menyeru semua pihak yang mengambil bahagian termasuk diri saya sendiri agar kita bersama menjaga rukun dan tertib dalam berkempen serta mematuhi tatacara yang digariskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin menegaskan pemilihan kali ini adalah pentas untuk menampilkan idea dan gagasan masing-masing secara sihat dan matang memandangkan prestasi mereka dinilai ahli parti dan rakyat.

"Sebagai parti teras dalam Kerajaan Perpaduan, rakyat akan melihat segala tindak tanduk serta perbuatan kita.

"Ayuh sama-sama kita mempamerkan politik yang damai dan matang demi manfaat bersama." katanya.

Malah, beliau juga mengingatkan semua calon mematuhi garis panduan ditetapkan JPP dan berkempen secara tertib.

Amirudin akan mempertahankan jawatan naib presiden KEADILAN pada pemilihan penggal 2025/2028 yang berlangsung 23 Mei depan.

Selain beliau, jawatan berkenaan turut ditandingi 11 calon lain termasuk penyandangnya iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan).

Calon ialah ialah Datuk Seri R. Ramanan (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru), R. Yuneswaran (Ahli Parlimen Segamat), Dr Sathia Prakash Nadarajan (Ketua Cabang PKR Hulu Selangor), Abun Sui Anyit (Ketua Cabang PKR Hulu Rajang/Ahli Dewan Negara), Hee Loy Sian (bekas EXCO Selangor), Mustaffa Kamil Ayub (Pengerusi Institut Keusahawanan Negara) dan Manivanan Gowin (Ketua Cabang PKR Jempol).

Pemilihan bermula 8 pagi hingga 5 petang dijalankan menerusi dua kaedah iaitu secara pengundian fizikal oleh perwakilan Kongres Pusat, Kongres AMK Pusat dan Wanita Pusat, masing-masing di Berjaya Waterfront Hotel dan Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru.

Bagi Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal dilaksanakan di International Technology and Commercial Centre (ITCC), Penampang dan Penview Convention Centre, Kuching.

Pengerusi JPP Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa memaklumkan 251 calon menawar diri merebut tempat dalam senarai pimpinan peringkat pusat termasuk sayap wanita dan angkatan muda KEADILAN (AMK).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.