Oleh Ufairah Tarmidzi
SHAH ALAM, 12 MEI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor mematahkan empat cubaan menyeludup pelbagai komoditi antaranya beras, bernilai RM772,819 termasuk duti dan cukai pada Mac lepas.
Pengarah Kastam Selangor Tun Norlela Azumi Ramli berkata pada 25 Mac, pihaknya menahan sebuah kontena bersaiz enam meter dalam kawasan zon bebas Pelabuhan Klang di sini dan menemui komoditi beras yang dipercayai dibawa masuk tanpa permit import.
“Jumlah keseluruhan beras adalah seberat 10,000 kilogram dengan anggaran nilai duti/cukai RM238,000.
“Mereka ini didapati membuat pengikraran tidak benar dengan mengikrarkan dagangan sebagai biji selasih, daun campuran dan rempah-ratus campuran bagi mengelak keperluan permit import dari Padiberas Nasional Berhad (Bernas),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata JKDM Selangor juga menahan sebuah kontena dan menemui 492 unit basikal elektrik, dianggarkan bernilai RM123,000, juga disyaki tidak mempunyai permit import.
“Pengimport mengikrar dagangan sebagai alat ganti basikal bagi tujuan mengelakkan keperluan mendapatkan permit import daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri. Dagangan turut disyaki diimport dari China,” katanya.
Bagi kes ketiga, Tun Norlela Azumi berkata pihaknya turut merampas sebuah kontena bersaiz 12.1 meter yang membawa 147,600 unit aksesori elektrik dipercayai diimport tanpa permit import pada 20 Mac lepas di zon bebas Pelabuhan Klang.
“Mereka telah membuat pengikraran tidak benar dengan mengikrarkan dagangan sebagai palam, adaptor dan aksesori serta penggunaan kod tarif yang salah bertujuan untuk mengelak keperluan mendapatkan Perakuan Kelulusan. Nilai dan duti/cukai rampasan aksesori itu bernilai RM221,390,” katanya.
Bagi kes berikutnya, beliau berkata pihaknya telah merampas dagangan yang disyaki etil alkohol dengan kuantiti 7,320 liter yang disyaki tiada permit import dengan anggaran nilai serta duti/cukai RM190,429.
Beliau berkata rampasan berkenaan dilakukan di zon bebas Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 20 Mac dengan pengimport mengikrar dagangan sebagai larutan etanol bagi mengelakkan keperluan mendapatkan permit import oleh Ketua Pengarah Kastam.
Tun Nurlela Azumi berkata keempat-empat kes tersebut sedang disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967, iaitu mengimport apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan serta Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967, iaitu membuat pengikraran tidak benar.
--BERNAMA