ad
AGENDA

Pesara rugi RM459,000 dipercayai jadi mangsa pelaburan saham tidak wujud

12 Mei 2025, 6:07 AM
Pesara rugi RM459,000 dipercayai jadi mangsa pelaburan saham tidak wujud

JOHOR BAHRU, 12 MEI: Pesara berusia 73 tahun kerugian RM459,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud yang beroperasi dalam talian.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata mengikut laporan polis dibuat mangsa semalam, kejadian bermula Disember tahun lalu apabila lelaki itu menerima tawaran pelaburan saham syarikat antarabangsa menerusi aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali.

“Mangsa telah dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp dinamakan ‘PJT Academy’ yang kononnya mengajar cara jual beli saham menggunakan aplikasi 'USMSG'.

"Suspek menawarkan pelaburan yang didakwa beroperasi di Malaysia dan China dengan pulangan keuntungan antara 10 hingga 200 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Raub berkata mangsa yang tertarik dengan tawaran itu melakukan 23 transaksi pemindahan wang berjumlah RM459,000 daripada akaun HSBC miliknya ke 10 akaun bank berbeza dari 10 Januari hingga 17 April lalu.

Beliau berkata pada awalnya mangsa menerima pulangan RM18,360 dan mendorongnya untuk terus melabur, namun apabila mangsa diminta membuat bayaran 'wang proses' untuk mengeluarkan keuntungan selanjutnya mangsa gagal menerima pulangan dijanjikan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

"Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan iklan pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan luar biasa dan mengesahkan kesahihan pelaburan melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia atau menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997.

“Masyarakat turut digalakkan mengikuti laman rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Facebook, Instagram dan TikTok untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai modus operandi jenayah penipuan komersial,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.